KPT komited tubuh universiti wanita

Kementerian Pengajian Tinggi komited dalam usaha menubuhkan sebuah universiti khas untuk golongan wanita di negara ini. – Gambar Hiasan

Oleh Rohana Man

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus komited dalam usaha menubuhkan sebuah universiti khusus untuk golongan wanita di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penubuhan itu dapat membantu meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Katanya, ketika ini bilangan mahasiswi di institut pendidikan tinggi awam (IPTA) adalah kira-kira 350,000 iaitu 61 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar, manakala lebih 530,000 iaitu 53 peratus pelajar wanita memasuki institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Malaysia kini mempunyai 131,000 pelajar antarabangsa dan kami menyasarkan 250,000 kemasukan pelajar antarabangsa menjelang 2025.

“Peningkatan ini termasuk penambahan besar badan pelajar yang terdiri daripada wanita,” katanya ketika berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di sini, baru-baru ini.

Cadangan menubuhkan sebuah universiti khas untuk wanita itu pertama kali dibangkitkan dalam Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) pada Ogos lalu.

Cadangan itu merupakan salah satu daripada enam resolusi yang diputuskan dalam daripada konvensyen tersebut.

Dalam konvensyen itu, Noraini berkata, keperluan sebuah universiti khas untuk wanita bersandarkan kepada statistik yang menunjukkan jumlah kemasukan pelajar wanita ke IPTA melebihi bilangan lelaki.

Beliau berkata, nisbah kemasukan pelajar ke IPTA sekarang adalah 1:3 iaitu seorang pelajar lelaki bersamaan dengan tiga pelajar wanita.

Bagaimanapun, statistik menunjukkan kebolehpasaran graduan wanita adalah kurang iaitu 84.4 peratus, berbanding 87 peratus graduan lelaki.

Dalam hubungan ini, Noraini berkata, Wanita BN merasakan perlu ada sebuah institusi yang melihat khusus kepada isu tersebut.

Katanya dalam konvensyen itu, penubuhan universiti khas wanita dapat memberikan penawaran khusus yang relevan, sekali gus mewujudkan permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja.

“Semua ini dan kekangan berkait dengan ketidakbolehpasaran dalam kalangan wanita perlulah menjadi agenda utama universiti wanita,”ujarnya.

Noraini berkata, KPT menyambut baik sebarang cadangan untuk kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi yang akan memberi faedah bersama.

Di Arab Saudi, sebuah universiti khas untuk wanita muncul sebagai universiti wanita paling besar di dunia. Universiti yang terletak di Riyadh itu dikenali Princess Noura University (PNU) dan ditubuhkan pada 1970.

PNU boleh menempatkan sehingga 50,000 pelajar di kampusnya dan menjadi simbol pendidikan wanita serta penyertaan wanita dalam pembangunan negara itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker