KPT tingkat kerjasama antarabangsa

Oleh Rohana Man

PUTRAJAYA – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berpeluang menyaksikan pemeteraian 12 Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Memorandum Perjanjian (MoA) di India, Qatar, United Kingdom, Romania, Turkiye, dan Kanada pada tahun ini.

Menurutnya, beliau menyaksikan kesemua MoU dan MoA itu ditandatangani setakat bulan September 2022 dan kerjasama itu diadakan bagi memudahkan kolaborasi penyelidikan dan aktiviti inovasi, program mobiliti pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar bersama dan banyak lagi.

Memetik laporan Bernama, beliau berkata, kesemua persefahaman dan perjanjian yang dimeterai itu selari dengan objektif KPT yang komited dalam memperkukuh kerjasama serta mengurangkan halangan dalam perkhidmatan pendidikan bersama rakan antarabangsanya.

“Kami percaya pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan meningkatkan persaingan, sekali gus menambah baik kualiti dalam kalangan lulusan universiti.

“Kami juga menyasarkan sistem pendidikan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja dan masyarakat.

“Jadi, institut pendidikan tinggi di negara kita telah melancarkan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan MoU dan MoA bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya ketika berucap dalam satu sesi membina jaringan hubungan di sini, baru-baru ini.

Dalam satu perkembangan lain, Noraini berkata, hanya terdapat satu universiti tempatan yang tersenarai dalam kedudukan 100 teratas QS World University Rankings (WUR) 2023, manakala empat daripada lima universiti penyelidikan tempatan tersenarai dalam kedudukan 200 teratas carta tersebut.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 24 universiti kita telah menunjukkan peningkatan ranking, menjadikan tahun ini antara yang paling berjaya dalam pendidikan tinggi berdasarkan ranking,”tambahnya sambil menegaskan perlunya sebuah universiti khas untuk wanita ditubuhkan di negara ini.

Beliau percaya universiti wanita yang ditubuhkan itu akan turut berjaya dalam pencapaian QS WUR.

Noraini juga berkata, usaha lain yang dijalankan kementeriannya ialah penubuhan program luar negeri oleh universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia yang melaksanakan program itu di Turkiye dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bakal memulakan programnya di Qatar pada bulan depan.

“UKM akan turut membuka kampus cawangannya di Doha pada 2025, menjadikan ia universiti awam pertama yang mempunyai kampus fizikal di luar negara.

“Selain itu, perbincangan sedang dijalankan mengenai penubuhan Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Jawaharlal Nehru di India dan di Pusat Pengajian Orang Timur dan Afrika di University of London,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker