Messi mengganas lagi

Harrison, Amerika Syarikat: Lionel Messi menjaringkan dua gol bagi membolehkan Argentina kian menghampiri rekod dunia tanpa kalah milik Itali selepas menewaskan Jamaica 3-0 dalam aksi persahabatan di New Jersey pagi tadi.

Bintang Paris Saint-Germain, Messi meledak jaringan antarabangsa ke-90 dalam 164 perlawanan selepas masuk sebagai pemain simpanan di Red Bull Arena.

Jaringan Messi membantu kemenangan bergaya buat gergasi Amerika Selatan itu yang kini tidak tewas 35 perlawanan sejak 2019, hanya dua perlawanan di belakang rekod milik Itali iaitu 37 perlawanan tanpa kalah.

Messi yang turut meledak dua gol ketika menewaskan Honduras di Miami Jumaat lalu menggembirakan penonton dengan aksi hebat selepas dimasukkan pada minit ke-56 menggantikan Lautaro Martinez.

Dia menjaringkan gol pertamanya minit ke-86 dengan rembatan ke penjuru gawang penjaga gol Jamaica, Andre Blake. Argentina sebelum itu mendahului perlawanan pada minit ke-13 hasil tolakan jarak dekat Julian Alvarez.

Messi yang juga pemenang tujuh kali Ballon D’Or berusia 35 tahun itu melengkapkan kemenangan bergaya dengan meledak gol keduanya menerusi sepakan percuma menarik yang mengelirukan benteng Jamaica.

Kehadiran Messi menggamatkan stadium dan membuatkan penonton teruja dengan ada yang berlari masuk ke padang untuk menghampiri ikon Argentina itu.

Seorang penyokong tidak berbaju cuba mendapatkan autograf Messi namun ditahan pengawal keselamatan.

Dua jaringan Messi itu meneruskan momentum skuad kendalian Lionel Scaloni yang muncul antara pasukan pilihan menjuarai Piala Dunia di Qatar.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker