Pemimpin Bersatu nafi akan tolak Bajet 2023

Seorang pemimpin Bersatu memberi amaran kepada bekas menteri perpaduan dan kesejahteraan sosial, P Waytha Moorthy supaya tidak menjadi batu api yang melaga-lagakan pemimpin parti pemerintah dengan menuduh Bersatu tidak akan menyokong Belanjawan 2023.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris turut memberi amaran kepada Waytha Moorthy supaya tidak mencampuri urusan parti lain.

Razali merujuk dakwaan Waytha Moorthy yang menganggap “pertembungan” terbaharu antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mungkin menyaksikan parti teras Perikatan Nasional itu tidak menyokong Belanjawan 2023.



“Kenyataan Muhyiddin menjadi petunjuk tiada jaminan parti itu (Bersatu) akan menyokong Bajet 2023, yang dijangka dibentang pada 7 Okt,” kata Waytha Moorthy merujuk saranan Muhyiddin supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan, jika Ismail gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, pucuk pimpinan Bersatu tidak pernah berbincang untuk menolak Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Okt ini.

Katanya, Waytha Moorthy sebenarnya gagal memahami maksud keseluruhan Muhyiddin dalam menasihati perdana menteri.

“Tuduhan tersebut tidak berasas, sekadar melaga-lagakan pemimpin parti kerajaan sedia ada.



“Semua Ahli Parlimen profesional dalam perbahasan belanjawan, termasuk dari Bersatu kerana belanjawan untuk kepentingan semua rakyat, termasuk anggota kerajaan. Jadi, mana boleh semberono tidak menyokong,” katanya kepada FMT.

Pada 19 Sept lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat, di mana 61% daripada mereka berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah.

Oleh itu, beliau menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

© Free Malaysia Today 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button