Perkukuh ekosistem kampus menerusi kolej angkat

(Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail menanam satu daripada enam pokok hiasan sebagai simbolik pelancaran program)

Oleh Azrin Muhammad

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melaksanakan ekosistem kampus selamat menerusi inisiatif kolej angkat menjelang Minggu Mesra Mahasiswa (3M) sesi 2022/2023.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, ekosistem kampus selamat merupakan salah satu daripada tujuh strategi Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT (Institut Pengajian Tinggi) agar suasana di kampus lebih kondusif dan selamat.



“Inisiatif kolej angkat merupakan satu pelan tindakan bersinergi antara entiti kolej kediaman bersama entiti pengurusan akademik (fakulti dan sekolah) serta pusat tanggungjawab (PTJ) universiti yang lain agar kolej-kolej kediaman UTM berada dalam keadaan bersih, ceria, selamat dan kondusif.

“UTM mahu inisiatif ini dapat mewujudkan suasana kampus yang selesa dan sejahtera menjelang kedatangan pelajar baharu sesi 2022/2023, sekali gus memenuhi penanda aras ekosistem kampus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, Ahmad Fauzi melancarkan Kolej Angkat dan Gotong Royong Perdana UTM yang berlangsung di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Isnin lalu.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad; Pendaftar UTM, Nor Azizah Ismail; Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman; pegawai-pegawai kanan universiti serta sukarelawan yang terdiri daripada staf dan mahasiswa UTM.



Sementara itu, Ahmad Fauzi memberitahu setiap kolej kediaman di UTM Kampus Johor Bahru akan menjadi kolej angkat kepada fakulti, sekolah dan PTJ yang telah ditetapkan.

“Kolej-kolej lingkaran dalam seperti Rahman Putra (KRP), Tun Fatimah (KTF), Tun Razak (KTR), KTHO dan Tun Dr. Ismail (KTDI) akan menjadi kolej angkat kepada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Fakulti Sains (FS), Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) dan Sekolah Komputeran (SC).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker