Seluruh Cuba bergelap dek Taufan Ian

HAVANA, Cuba – Taufan Ian mengakibatkan bekalan elektrik terputus di seluruh Cuba dan memusnahkan sejumlah ladang tembakau utama apabila ia membadai bahagian barat negara ini, semalam.

Kesatuan Elektrik Cuba dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja giat dilakukan semalaman bagi memulihkan perkhidmatan secara berperingkat kepada 11 juta penduduk.

Pada awalnya, kira-kira sejuta penduduk di wilayah barat mengalami gangguan bekalan elektrik, namun kemudian keseluruhan grid mengalami kerosakan.

Taufan Ian melanda barat Cuba sebagai ribut Kategori Tiga sehingga memusnahkan wilayah Pinar del Río yang menjadi lokasi penanaman sebahagian besar tembakau untuk cerut ikonik negara ini.

Menurut Institut Meteorologi Cuba, bandar Pinar del Río menjadi pusat badai taufan itu selama kira-kira sejam setengah.

Pegawai mendirikan 55 pusat penempatan sementara dan mengambil langkah untuk melindungi tanaman, terutama tembakau.

Puluhan ribu penduduk dipindahkan dan sebahagian lagi meninggalkan kawasan terbabit sebelum ketibaan taufan itu yang mengakibatkan banjir, kediaman rosak dan pokok tumbang.

Pihak berkuasa masih menilai kerosakan yang berlaku, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat malam tadi.

Angin kencang dibawa Taufan Ian memusnahkan satu daripada ladang tembakau paling penting di Cuba yang terletak di La Robaina.

Media melaporkan Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel turun padang melawat wilayah yang terjejas akibat taufan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker