Syarikat Malaysia bekal hampas kelapa sawit ke Filipina

KUALA LUMPUR: Pemaju, pengilang dan pembekal bahan api biojisim tempatan, Bio Eneco Sdn Bhd (BioEneco) mengembangkan perniagaan ke Filipina menerusi penghantaran hampas kelapa sawit ke negara itu.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, ia bakal direalisasikan dengan memasukkan Filipina ke dalam perjanjiannya dengan PT Orion APAC Indonesia (Orion), pembekal dan peniaga bahan api biojisim antarabangsa.

“Pada mulanya, perjanjian antara BioEneco dan Orion meliputi dua penghantaran hampas kelapa sawit sebulan ke Thailand untuk tempoh tiga tahun bermula dari April 2020 hingga Mac 2024.

“Kini, Filipina turut dimasukkan sebagai pelabuhan persinggahan dan satu majlis menandatangani perjanjian ini telah diadakan baru-baru ini di kilang BioEneco di Pelabuhan Klang,” katanya.



Dalam perjanjian itu, BioEneco diwakili oleh Pengarah Urusannya, Oliver Yeo, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Orion, Max Marcus mewakili syarikatnya.

Dalam pada itu, Yeo berkata, BioEneco gembira melihat hubungannya dengan Orion terus bertambah kukuh.

“Kami juga terdorong dan menghargai keyakinan dan kepercayaan Orion terhadap produk kami dan bersama-sama, percaya mampu mengembangkan jangkauan untuk memenuhi keperluan industri biobahan api di rantau ini dan juga di peringkat global.

“Perjanjian ini akan menyaksikan BioEneco menyampaikan sejumlah 204,000 tan hampas kelapa sawit kepada Filipina dan Thailand setiap tahun.



“Ini akan meningkatkan lagi prestasi kewangan syarikat dengan ketara dalam beberapa tahun akan datang serta meningkatkan reputasi kami sebagai pemain utama dalam industri tenaga hijau global,” katanya.

Sementara itu, Max berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengembangkan perjanjian sedia ada dengan BioEneco.

“Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan dan kebolehan syarikat sebagai pengeluar tenaga bahan api biojisim gred tinggi yang progresif untuk menunaikan kewajipan kontraknya.

“Pasaran biobahan api global telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh permintaan yang sentiasa berkembang untuk tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan.

“Kami di Orion mengharapkan perkongsian yang panjang dan bermanfaat dengan BioEneco pada masa hadapan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker