Ibu bapa, penjaga penunggang basikal lajak juga tidak terlepas tindakan

Padang Besar: Polis mengenal pasti beberapa jalan di negeri ini menjadi lokasi kumpulan basikal lajak melakukan aksi berbahaya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, salah satu lokasi dikenal pasti sering menjadi tumpuan ialah sekitar sebuah restoran makanan segera di Jalan Kampung Bakau-Padang Behor di sini.

Katanya, sehubungan itu polis akan mengambil tindakan terhadap kumpulan basikal lajak terbabit termasuk ke atas ibu bapa dan penjaga mereka.

“Penggunaan basikal lajak memang tidak dibenarkan dan jika dikesan, kita akan mengambil tindakan termasuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak atau individu yang berkenaan.

“Melalui tindakan tahun lalu di laluan Jalan Kampung Bakau-Padang Behor polis menahan 50 hingga 60 penunggang basikal termasuk basikal rekreasi yang didapati tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Padang Besar yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Terdahulu, Surina menyaksikan serah terima tugas bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Saifudin Aslin Abbas kepada Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah.

Mohd Shokri, 48 yang berasal dari Guar Chempedak, Kedah adalah bekas Timbalan Ketua Jabatan Siastan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur sebelum ini dan sepanjang 26 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, beliau pernah bertugas dengan Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan IPK Selangor selain di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Johor Bahru dan Selangor.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker