Tunku Panglima Johor juara Pro-Am GT3 Asia

KUALA LUMPUR: Selepas mencipta sejarah menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 baru-baru ini, Johor menggegar arena sukan antarabangsa pula dengan pencapaian dilakar Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dalam kejohanan GT World Challenge Asia.

Tunku Abdul Rahman muncul juara kategori Pro-Am Asia bersama rakan sepasukan, Nick Foster selepas saingan musim ini melabuhkan tirainya di Litar Antarabangsa Okayama, Jepun, pada Ahad lalu.

Lebih manis, pasukan diwakili Tunku Abdul Rahman iaitu Triple Eight Race Engineering turut muncul juara pengeluar keseluruhan kejohanan.



Pada masa sama, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim juga menampilkan potensi yang amat baik dalam musim pertama dengan menduduki tempat kelima kategori Pro-Am bersama Jazeman Jaafar.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian kedua-dua anakanda baginda.

“Kita bukan sahaja cemerlang dalam temasya SUKMA tetapi anak-anak saya juga mengharumkan nama Johor di persada antarabangsa.



“Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya. Kepada Iman (Tunku Panglima), teruskan kecemerlangan dan kepada Boo (Tunku Putera), cuba pintas abang kamu musim depan,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button