UPNM baik pulih rumah terjejas

UPNM menyantuni penduduk Kampung Parit Puasa di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor yang dilanda ribut baru-baru ini.

Oleh Rohana Man

PARIT SULONG – Kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di kawasan ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk institut pengajian tinggi awam (IPTA).



Antaranya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melalui Pejabat Pendaftar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni telah menganjurkan Program UPNM Prihatin Jiwa Murni Pembaikan dan Sumbangan kepada penduduk Kampung Parit Puasa, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

Melalui hantaran di laman Facebook UPNM, berikutan kejadian ribut yang melanda kampung berkenaan sehingga menerbangkan bumbung rumah, pihaknya telah mengadakan gotong royong bersama penduduk bagi membaik pulih rumah yang terjejas akibat ribut yang melanda kampung terbabit pada 24 September lalu.

“Pejabat Pendaftar dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni telah mengatur pergerakan untuk gotong-royong bersama penduduk kampung bagi menjayakan program baikpulih kediaman penduduk yang terjejas dalam ribut yang berlaku pada Sabtu lalu,” kata kenyataan itu.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti yang juga wakil alumni turut hadir memberi sokongan sebagai mewakili Kementerian Pengajian Tinggi dalam menjayakan program prihatin ini.



Kerja-kerja pembaikan bumbung yang rosak dan tercabut akibat angin ribut yang melanda Kampung Parit Puasa itu telah berjaya dibaiki sepenuhnya bersama bantuan penghulu serta pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Selain itu, sumbangan termasuk daripada usahasama Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat, PNC JIPK) dan Persatuan Bakti Kasih Malaysia yang berupa barangan keperluan dapur termasuk dapur dan barangan makanan turut disampaikan kepada Penghulu Kampung Parit Puasa sebagai wakil untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button