10 wanita rebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022

Datuk Normaziah Shiekh Mohamed (tengah) bersama 10 finalis Wanita Ikon yang berjaya melangkah ke peringkat akhir untuk merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022 di Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini.

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Seramai 10 pemenang wanita ikon peringkat negeri akan bersaing bagi merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022 dalam satu majlis yang akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Shiekh Mohamed, berkata, semua finalis tersebut akan merebut gelaran peringkat nasional itu pada Majlis Makan Malam Anugerah 1 Wanita Ikon Malaysia yang akan diadakan di Hotel Majestic.



Menurutnya, pihak penganjur menerima sebanyak 242 pencalonan sejak pencarian peringkat negeri bermula pada Mac lalu.

Katanya, dalam pemilihan awal, sebanyak 73 calon dari seluruh negara berjaya pada peringkat saringan pertama.

“Peringkat seterusnya menyaksikan sebanyak 42 calon terpilih ke peringkat akhir Anugerah Wanita Ikon Negeri.

“Daripada jumlah itu, hanya 10 pemenang Wanita Ikon Negeri dipilih untuk sampai ke tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.



Program anjuran KWIM dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bertujuan mencari seorang wanita yang layak digelar ikon.

Juara Wanita Ikon akan membawa pulang wang tunai RM30,000, selain barangan kemas tajaan Habib Jewels dan kosmetik tajaan Wardah Cosmetics Malaysia.

Majlis itu dijangka dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Normaziah juga berkata, semua finalis itu sewajarnya perlu atau mampu menjalankan aktiviti pemerkasaan wanita dalam komuniti dengan mengenal pasti keperluan atau permasalahan dihadapi mereka serta mencari jalan penyelesaian bagi memperkasakannya.

“Wanita Ikon yang bakal dipilih mestilah terdiri daripada mereka yang mampu menjalankan aktiviti-aktiviti pemerkasaan wanita dalam komuniti.

“Malah mereka juga mampu mengenal pasti keperluan atau permasalahan yang dihadapi wanita dan mencari jalan penyelesaian,” tambahnya.

Selain itu, katanya, Wanita Ikon turut berperanan sebagai wanita contoh serta idola kepada wanita lain dalam menyuntik semangat bagi memajukan diri dan masa depan.

Mengulas kaedah pemilihan, katanya terdapat dua kaedah pengadilan yang akan digunakan bagi memuktamadkan gelaran Wanita Ikon Malaysia 2022.

“Markah yang akan dikumpul kelak adalah 50 peratus daripada juri profesional dan 50 peratus lagi, undian umum,” katanya sambil memberitahu bahawa undian umum telahpun dibuka.

Undian umum dibuka mulai 14 September lalu hingga 10 Oktober depan dan ditutup secara rasmi tepat pukul 12 tengah malam.

Pencalonan Wanita Ikon tahun ini menerima sambutan hebat dalam kalangan wanita bekerjaya termasuk doktor, polis, kontraktor dan usahawan berjaya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker