9 anak bersama-sama jaga ibu terlantar akibat angin ahmar

Gua Musang: Akibat diserang angin ahmar enam tahun lalu, seorang wanita di Felda Chiku 7 di sini, kini hanya mengharapkan bantuan anak untuk menguruskannya yang lumpuh separuh badan.

Bukan hanya Hajilah Mokhtar, 59, dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), anak bongsunya, Muhammad Faris Haikal Nordin Ahmad, 19, juga berdepan ketidakupayaan masalah pembelajaran.

Hajilah berkata, dia kini mengharapkan bantuan anak, Nurul Natasya Azlinda Nordin Ahmad, 21, dan lapan anak yang lain untuk menjaga serta menyara keluarga mereka.

“Suami, Nordin Ahmad, berusia 60 tahun, hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu. Namun ada anak-anak yang turut membantu sedikit sebanyak kerana mereka juga ada keluarga dan tanggungjawab masing-masing

“Alhamdulillah, bantuan bulanan RM300 untuk saya dan RM150 untuk anak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedikit sebanyak turut membantu menampung kos perbelanjaan kami namun kami juga perlu berjimat cermat,” katanya ditemui di kediamannya.

Sementara itu, Nurul Natasya Azlinda berkata, dia memilih untuk tinggal bersama keluarganya walaupun sudah berkahwin kerana tidak sampai hati meninggalkan ibunya yang sakit.

“Saya tidak mampu menyediakan wang untuk emak dan ayah, ini sahaja pengorbanan yang dapat dilakukan untuk keluarga kerana adik-beradik lain bekerja di luar negeri.

“Malah, suami yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu lori turut mengizinkan saya untuk tinggal bersama ibu dan akan pulang dua bulan sekali,” katanya yang kini hamil lima bulan.

Katanya, walaupun kandungan sudah memasuki trimester ke dua, namun tiada persiapan yang mampu dilakukan bagi menyambut kelahiran anak sulungnya itu.

“Banyak yang lebih penting perlu didahulukan terutama makanan dan ubatan,” katanya bila ditanya tentang persiapan bayi yang bakal lahir.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker