Bekas Eksekutif Jualan mengaku tidak bersalah pertuduhan pecah amanah

SEBERANG PERAI – Bekas eksekutif jualan syarikat pengeluar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah bernilai RM23,704.40.

Tertuduh, R. Sutharshanan, 37, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhayati Mohd. Yunus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diamanahkan wang berjumlah RM23,704.40 telah dengan curangnya menggunakan harta itu dari 17 Februari 2022 sehingga 8 Ogos 2022.



Sutharshanan didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Cap Keluarga Sales & Services Sdn. Bhd. di Perai, Seberang Perai Tengah (SPT).

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Peguam mewakili Sutharshanan, Hari Prassaad Rao kemudian memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya itu dengan alasan tertuduh perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

“Tertuduh juga kini bekerja dengan pendapatan RM2,700 sebulan malah telah memberikan kerjasama baik sepanjang tempoh reman,” katanya.



Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

© Kosmo!

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button