Cheng Hoe bakal serap falsafah bola sepak moden

KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak Selangor FC pastinya teruja untuk menyaksikan corak permainan pasukan itu yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Ini kerana Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Kedah itu bakal menerapkan falsafah yang lebih menekankan kepada corak permainan bola sepak moden sekali gus mengikut jejak langkah seperti pernah digunakan ketika bersama Kedah sebelum ini.

“Kita perlu lihat kualiti pemain untuk melihat sama ada mereka sesuai dengan corak permainan. Kita mahu tunjukkan prestasi yang terbaik dan bermain dengan satu persembahan yang terbaik juga.

“Setiap jurulatih ada falsafah tersendiri dan kalau falsafah ini (seperti di Kedah) dapat beri kejayaan pada pasukan, saya rasa saya akan teruskan falsafah ini.



“Sudah tentu bukan mudah untuk pemain menyerap situasi ini tetapi saya rasa pemain menunjukkan kesungguhan dan komitmen selain semangat juang yang tinggi selepas mengendalikan pasukan untuk dua hari.

“Jadi saya harapkan pemain dapat segera menyesuaikan diri dengan corak permainan yang saya ingin terapkan dalam pasukan ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), kelmarin.

Dalam masa sama, Cheng Hoe turut menjelaskan peningkatan prestasi pemain menjadi fokus utama dengan dia mengakui usaha dua kali ganda diperlukan supaya pemain dapat mencapai tahap prestasi sebenar.

“Saya yakin pemain akan tunjukkan sikap untuk meningkatkan prestasi mereka dan menambahbaik setiap kelemahan yang ada. Kita mahu lihat kemajuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.



“Sudah tentu kita tidak akan nampak sekelip mata tetapi apabila pemain menunjukkan peningkatan dan daripada situlah prestasi pasukan akan meningkat secara keseluruhan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker