Komitmen UTM bantu masyarakat

Modul Asas Teknologi Simenfero yang dibangunkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mampu merancakkan aktiviti eko-pelancongan sesebuah kawasan dengan teknologi binaan mudah, murah dan tahan lasak.

 

Oleh Azrin Muhammad

JOHOR BAHRU – Seramai 67 peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah, penuntut Institut Pendidikan Guru dan komuniti Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah menyertai program Modul Asas Teknologi Simenfero.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad, program itu bertujuan memberi pendedahan berasaskan teknologi simenfero dalam industri binaan yang menggunakan bahan binaan murah, tahan lasak, tidak memerlukan teknologi tinggi serta mudah diselenggara.



“Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada agenda program pelancaran Denai Bersama Komuniti (DSKom22) anjuran Pusat Pelestarian Kampus UTM yang berlangsung Sabtu lalu.

“Peserta turut menampilkan lima buah modul berkaitan kelestarian sungai, sekali gus dijadikan rujukan dan panduan dalam penjagaan, pemeliharaan dan pemuliharaan sungai,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Terdahulu, Mohd. Haffiz melancarkan Program Modul Asas Teknologi Simenfero di Balai Raya Kampung Sungai Melayu yang dikelola oleh enam orang fasilitator dari Pengurusan Profesional dan Pelaksana (PPP) Sekolah Komputeran, Sekolah Kejuruteraan Awam, serta Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia UTM.

Turut hadir, Ahmi Dewan Negeri Johor (Kota Iskandar), Datuk Pandak Ahmad, Naib Canselor UTM, Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Setiausaha Kehormat UNESCO-IHP Malaysia, Mahidi Mahamood.



Sementara itu, Mohd. Haffiz berkata, peserta juga didedahkan tentang asas kejuruteraan awam bagi membangkitkan minat dalam kerjaya menjadi seorang jurutera awam serta membuka ruang dan peluang untuk menaik taraf sosio-ekonomi melalui aktiviti eko-pelancongan yang melibatkan pembangunan produk daripada teknologi simenfero.

“Taklimat dijalankan dengan menerapkan elemen fun learning, manakala aktiviti mini hands-on pula diisi dengan aktiviti mengecat kerusi, meja landskap simenfero serta beberapa cendawan hiasan bersaiz kecil menggunakan cat berasaskan air dan arcylic finishing gloss bagi memastikan ketahanan binaan terhadap iklim tempatan.

“Hasil binaan tersebut diletakkan di halaman Balai Raya Kampung Sungai Melayu sebagai tanda simbolik penghargaan dan komitmen UTM membantu masyarakat setempat untuk melestarikan dan merancakkan aktiviti eko-pelancongan di sini,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker