Petronas-Mercedes AMG terus jalin kerjasama



Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Mercedes-AMG terus menjalinkan kerjasama bermula 2026 hingga 2030 berdasarkan kepada peraturan baharu enjin Formula Satu (F1) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Bermula 2026, peraturan baharu membabitkan enjin F1 perlu menggunakan bahan api yang dihasilkan daripada biofuel.

Berikutan itu, Petronas mengambil langkah proaktif dengan melanjutkan kerjasama bersama pasukan berpangkalan di Brackley, United Kingdom itu untuk membangunkan bahan api terbaik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya berbangga dapat meneruskan kerjasama bagi membangunkan bahan api terbaik dalam F1.



“Pengalaman dalam satu pasukan sejak sedekad lalu, dan keupayaan teknikal serta kepakaran yang diperoleh daripada gabungan bakat kami, Petronas berharap mampu melakar bab seterusnya dengan tumpuan kepada bahan api mampan termaju untuk Mercedes.

“Bersama-sama dengan rakan kongsi kami, Petronas akan terus membangunkan terutama bersama Fluid Technology Solutions kami menerusi tawaran inovatif,” katanya.

Sementara itu, Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolf teruja dengan kerjasama itu yang kini berlanjutan dua dekad selepas mula jalani kerjasama bersama Petronas sejak 2010.

“Hari ini kami melakukan sesuatu yang agak luar biasa mengumumkan kerjasama yang akan bermula dalam masa empat tahun.



“Jelas ini memberi mesej penting kepada pasukan dan Petronas bukan lagi sekadar rakan kongsi, kami adalah keluarga, dan kami akan menjadi satu pasukan untuk beberapa tahun yang akan datang,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker