Seorang maut, 2 parah pacuan 4 roda rempuh lori sawit
Bintulu: Seorang meninggal manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di Batu 8, Jalan Bintulu-Miri Lama, jam 3.12 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Penguasa Bomba 1 Christus Buson pada kenyataan berkata, mangsa yang maut adalah penumpang Toyota Hilux iaitu Alexander Adolf Anyie Chua Heng Chai, 20.
Rakannya, Kennedy Beru, 21, pula parah di kepala.
Pemandu lori yang berusia 57 tahun luka di kepala manakala kelindannya, remaja lelaki berumur 17 tahun selamat.
“Anggota BBP Bintulu yang tiba di lokasi mendapati, dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.
“Kami gunakan alat khas untuk mengeluarkan mereka,” katanya.
Hasil maklumat awal, kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux itu merempuh belakang lori berkenaan yang di parkir di tepi jalan.
Mayat diserah kepada polis untuk proses selanjutnya. Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan.
METRO