500 perut berisi kerana insan rahsia



Kuala Lumpur: Seawal jam 4 pagi dan ketika kebanyakan penduduk sedang lena diulit mimpi, pengasas D’Dapor Al-Hafiz, Hafizah Mohamed Yatim sudah memerah keringat bagi menyediakan sarapan percuma kepada lebih 500 pelajar sekolah dan anak asnaf.

Rutin harian tanpa sebarang upah itu dilakukan Hafizah, 51, atau lebih mesra disapa ‘ibu’ sejak dua tahun lalu di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, dekat sini, apabila melihat ramai ibu bapa yang majoritinya daripada kumpulan B40 terkesan akibat pandemik Covid-19, malah ada yang kehilangan punca pendapatan.

“Pada mulanya, ibu masak secara gotong-royong untuk dihidangkan kepada anak-anak yatim ketika Ramadan, lepas itu pemberian makanan diteruskan kepada lebih 1,000 orang ketika pandemik Covid-19.

“Apabila keadaan kembali normal, ibu tukar bagi sarapan kepada pelajar sekolah dan anak asnaf. Matlamatnya supaya mereka dapat ke sekolah, kerana jika kelaparan mereka tidak akan ke sekolah dan ini boleh menjejaskan pelajaran,” katanya.



Hafizah yang juga panel pengurusan jenazah Hospital Shah Alam bagi kes kritikal berkata bekalan sarapan percuma itu dikhususkan kepada pelajar dan anak asnaf daripada keluarga B40 di PPR berkenaan.

“Ibu akan mula masak sendiri sekitar jam 4 pagi dan kemudianya berehat sebentar untuk menunaikan solat Subuh di masjid Ara Damansara yang hanya beberapa meter dari premis D’Dapor Al-Hafiz.

“Selepas selesai, dengan bantuan dua sukarelawan, sarapan mula diagihkan kepada pelajar dan anak asnaf sehingga jam 7.30 pagi. Bahkan anak asnaf yang telah dikenal pasti oleh ahli qariah juga akan diberikan wang saku RM2 seorang ke sekolah,” kata Hafizah yang berasal dari Selama, Perak.

Antara menu yang disediakan Hafizah yang juga bekas tukang masak sekolah ialah mi goreng, nasi goreng, nasi lemak dan kuetiau goreng dan hidangan yang disediakan itu lengkap dengan telur dan lauk-pauk seperti udang dan ayam.



Hafizah yang telah terlibat dengan aktiviti kebajikan sejak 1998 berkata, setiap hari lebih RM500 dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan memasak dan semuanya itu disumbangkan oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali.

“Tiada kutipan derma daripada orang ramai, hanya infaq daripada seorang dermawan untuk semua urusan perbelanjaan D’Dapor Al-Hafiz dari hari Selasa hingga Jumaat, hari Isnin adalah sumbangan daripada orang ramai.

“Saya juga tidak mengambil upah kerana apa yang saya buat kerana ikhlas ingin bantu orang. Dulu pun saya sekeluarga pernah hidup susah sampaikan rumah kena lelong, suami sakit jadi saya tahu penderitaan orang yang hidupnya kais pagi kais petang,” kata wanita yang mempunyai tiga anak itu dan telah kematian suami tahun lepas akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Sementara itu, seorang penduduk Norhayati Musa, 46, yang juga kematian suami berkata, usaha yang dilakukan Hafizah itu telah memberi manfaat kepada ratusan kanak-kanak di flat berkenaan termasuk anaknya, Irman Firhan Mohamad Aiman, 15.



“Dari awal pagi lagi, ibu akan maklumkan melalui WhatsApp Group menu yang ada. Anak-anak sudah tentu jadi bersemangat untuk ke sekolah kerana ada pihak yang menyediakan sarapan pagi, menunya pula sentiasa bertukar-tukar dan tidak membosankan,” katanya yang berniaga pakaian kanak-kanak.

METRO



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker