Ahmad Zahid Sifatkan UMNO Adalah Rakyat, Rakyat Adalah UMNO



KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO bangkit walaupun dalam serba kekurangan dan berdepan tekanan hebat sang penguasa yang berusaha membuat `pukulan terakhir’.

Ini kerana katanya, UMNO adalah rakyat dan rakyat adalah UMNO dalam pengertian sebuah perjuangan luhur demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

“Saksikan betapa UMNO yang pernah dinaratifkan sebagai sudah tiada dan lenyap, ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun’ terus mara dengan penuh semangat juang sehingga hari ini.

“Parti politik yang tidak pernah senang dan sakit hati dengan parti keramat ini, sentiasa mendabik dada akan menggantikan UMNO selepas dipropagandakan sudah `berkubur’ mencari jalan untuk UMNO bersubahat bersama mereka.



“Itu pun selepas mereka terlebih dahulu gagal untuk ‘hijack’ dengan mengambil alih UMNO bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), selangkah demi selangkah UMNO yang pernah tewas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 angkara pembohongan dan persepsi jahat musuh politik bangkit semula.

“Kita menzahirkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana menyaksikan kebangkitan UMNO selepas sejarah hitam Malaysia 9 Mei 2018 berlalu.

“Berkat keyakinan, kesungguhan, dan kepercayaan seluruh keluarga besar UMNO, bersatu padu bersama mendepani memintas cabaran demi cabaran. Benar laluannya agak berliku. Dalam tempoh lebih empat tahun lalu, andai disingkap penuh ranjau menguji istiqamah serta kesabaran kita semua.



“Bermula dengan pembelotan, desakan bubar UMNO, pendakwaan terpilih, ancaman pendaftaran UMNO dibatalkan dan seumpamanya. Namun alhamdulillah itu semua tidak pernah menjadi halangan kepada mereka yang setia kerana bagi kita, UMNO adalah parti keramat yang harus untuk kita bersama perjuangkan.”

Sesungguhnya kata Ahmad Zahid, segala kisah suka dan duka UMNO harungi bersama sejak peristiwa hitam 2018 melanda negara menjadi catatan sejarah yang mendewasakan semua.

“Tentunya juga saya mengingati sejarah yang meragui apakah saya mampu mengendali UMNO dalam keadaan parti ini lemah dan diasak musuh dari segenap penjuru.

“Tidak pernah sesekali saya berasa kecil hati tentang itu, kerana benar saya satu-satunya Presiden UMNO tanpa UMNO menguasai kerajaan. Ia sesuatu yang belum pernah disaksikan sebelumnya. Sukar untuk ramai pihak ketika itu meramalkan UMNO mampu bangkit tanpa kuasa.



“Syukur Alhamdulillah, Namun kerana kerjasama pimpinan dan ahli akar umbi yang ikhlas dan setia, kita membuktikan UMNO sebuah parti dengan asas yang kukuh.”

Katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pemimpin dan ahli akar umbi teguh bertahan dan menentang bersandarkan keyakinan dan kepercayaan terhadap makna perjuangan UMNO itu sendiri.

“Yakinilah segala kisah pengorbanan dan keazaman itu akan terus menjadi inspirasi terhebat mengiringi UMNO mencapai kebangkitan penuh pada PRU-15 nanti.

“Insya-Allah banyak yang kita bersama ‘pelajari’ sejak 9 Mei 2018 telah menjadikan UMNO lebih memahami tentang segala-galanya.



“Bersama parti komponen BN yang lain kita akan membentuk sebuah kerajaan milik rakyat yang lebih jitu, saksama dan gemilang apabila tiba masanya,” katanya lagi.

UMNO Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker