Peguam kekal bebas tuduhan ubah wang haram RM6.5 juta

Peguam kekal bebas tuduhan ubah wang haram RM6.5 juta

Peguam kekal bebas tuduhan ubah wang haram RM6.5 juta
– Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang peguam atas sembilan tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM6.5 juta.

Hakim, K Muniandy, membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 November 2022, yang melepas dan membebaskan M Pathmarajah, 67.

Muniandy berkata, keputusan Mahkamah Sesyen itu atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap peguam itu adalah betul.



“Mahkamah Tinggi mendapati tiada sebab untuk mengubah atau campur tangan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen. Maka, rayuan pendakwaan ditolak,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, manakala peguam, Datuk C Vignesh Kumar mewakili Pathmarajah.

Seramai 24 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Pathmarajah didakwa menerima wang RM6,536,600 melalui cek daripada Tan Bee Kim & Partners hasil aktiviti haram ke dalam akaun semasa Malayan Banking Berhad milik Firma Guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co sebagai rakan kongsi firma guaman berkenaan.

Pathmarajah turut didakwa atas dua tuduhan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM2,680,370 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co ke dalam akaun simpanan tetap firma guaman itu dan Syarikat Emizen Line Sdn Bhd.



Dia turut didakwa menggunakan wang berjumlah RM1,080,000 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Malayan Banking milik firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co melalui dua keping cek kepada Mitz Luniques Sdn Bhd antara 12 dan 15 Februari 2018.

Pathmarajah turut didakwa atas tiga tuduhan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM3,155,242.79 hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Public Bank milik Tetuan Mazwan Pathma & Co ke dalam akaun semasa lain di Public Bank dan Malayan Banking milik firma guaman sama.

 

Peguam kekal bebas tuduhan ubah wang haram RM6.5 juta

 




DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Sebutir Beras Adalah Setitik Keringat Petani, Tetapi Mengapakah Mereka Di Abaikan?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button