Lima pelajar wanita ukir nama di luar negara

(Lima pelajar wanita cemerlang yang mengharumkan nama Malaysia di luar negara, Irdina Shahriman (atas, kanan); Maryam Balqis (bawah, kiri); Dr. Farah Shaheera (bawah, kanan); Fakhirah Khairuddin (tengah) dan Lisa Nur Marini (atas, kiri).

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Kecemerlangan wanita dalam pelbagai bidang terus ‘meroket’ membelah angkasa dengan mencatatkan kejayaan yang mengharumkan nama negara dari semasa ke semasa.



Dalam bidang akademik, kita dapat menyaksikan berderet pelajar wanita menerima anugerah dekan semasa majlis konvokesyen di universiti masing-masing.

Di universiti luar negara, tidak kurang hebatnya kaum Hawa mencatatkan keputusan cemerlang yang luar biasa sehingga dinobatkan sebagai penerima pelbagai anugerah dan biasiswa di universiti pengajian mereka.

Pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan ibu bapa, malah boleh menjadi suri teladan kepada anak muda lain.

Apa yang mengujakan apabila kejayaan yang diraih turut memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia dan secara tidak langsung, mereka bertindak sebagai duta kecil negara.



Setiap tahun, pasti ada sahaja nama-nama pelajar wanita yang muncul di pentas dunia kerana kecemerlangan yang digapai mereka.

Kejayaan yang dicatatkan itu, tidak kiralah sama ada dalam bidang akademik ataupun kerjaya.

Yang pasti ia membuka mata masyarakat bahawa wanita tempatan juga berkebolehan dalam apa sahaja bidang yang diceburi.

Berikut lima pelajar wanita tempatan yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.



IRDINA SHAHRIMAN

Meraih keputusan pointer 4.0 (4 flat) secara konsisten mulai tahun pengajian 2018 sehingga 2021.

Irdina merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dari Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat (AS).

Kecemerlangan itu melayakkannya dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan atas pencapaian akademik tertingginya.



Wanita dari Subang Jaya, Selangor itu juga menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 mahasiswa di VT.

Irdina kini berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

MARYAM BALQIS ABDUL RASHID

Menyandang jawatan sebagai Pengurus Projek di Arizona, AS, penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) ini mengharumkan nama negara sekitar tahun 2019.



Maryam Balqis meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 di Arizona State University (ASU) dalam kursus pertama yang ditawarkan di universiti berkenaan iaitu program Sustainability.

DR. FARAH SHAHEERA ROSLAN

Doktor muda ini pernah menimba ilmu di Kolej INTEC, Selangor dan International Medical University, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di University of Nottingham, United Kingdom (UK).

Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Farah berjaya mencipta inovasi hijab pakai buang untuk petugas barisan hadapan beragama Islam di hospital di UK.



Berkhidmat di Northampton General Hospital, sumbangan beliau diiktiraf apabila dicalonkan dalam British Muslim Award. Dr. Farah juga mendapat pengiktirafan NHS Leadership Academy Award.

Tidak terhenti setakat itu, usaha Dr. Farah turut meraih pujian Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

FAKHIRAH KHAIRUDDIN

Kekal mencatatkan kecemerlangan sebaik sahaja menamatkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putra (Ulul Albab), Terengganu, Fakhirah merupakan lepasan Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal di University of California (UC), San Diego, California.

Beliau telah dipilih oleh syarikat gergasi AS untuk bekerja sebagai pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di kilang Tesla sejak Julai lalu. Bidang tugasnya adalah untuk membimbing jurutera Tesla mengenai robotik FANUC serta Kuka. Kini menetap di bandar Fremont, California, Fakhirah sebelum ini pernah berkhidmat di UC sebagai Jurutera Pembangunan Propulsi dan pernah menjadi Ketua Pasukan Penyelidik bagi Projek Hexacopter bersama UC.

LISA NUR MARINI MOHD KAMAL

Menerima biasiswa Petronas untuk menyambung pelajaran, Lisa Nur mengharumkan nama negara apabila diberikan peluang untuk berucap di hadapan kira-kira 7,000 warga University of Wisconsin-Madison, AS, sempena hari konvokesyennya pada tahun 2019. Walaupun dilahirkan di AS, Lisa Nur dalam ucapannya memberitahu beliau telah dibesarkan di Malaysia.

Menerusi laman sesawang University of Wisconsin-Madison, Profesor Jabatan Geosains, Laurel Goodwin berkongsi cerita bahawa Lisa Nur memilih melanjutkan pengajian dalam bidang analisis mikropro elektron yang sangat mencabar sehingga dianugerahkan Biasiswa Junior Lowell R. Laudon dari Jabatan Geosains dan anugerah ‘On To the Future’ daripada Persatuan Geologi Amerika.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button