MBSA sahkan Datuk Bandar Shah Alam dipanggil beri keterangan kepada SPRM

MBSA sahkan Datuk Bandar Shah Alam dipanggil beri keterangan kepada SPRM

MBSA sahkan Datuk Bandar Shah Alam dipanggil beri keterangan kepada SPRM
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor

KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan, semalam.

Dalam satu kenyataan, MBSA memaklumkan Zamani dipanggil SPRM petang semalam untuk membantu siasatan berhubung tender projek tebatan banjir.

Bagaimanapun, MBSA memaklumkan Zamani tidak ditahan SPRM seperti dilaporkan, sebaliknya beliau sudah kembali bertugas di pejabat hari ini selepas memberi keterangan.



“MBSA menafikan dakwaan berhubung penahanan Datuk Bandar Shah Alam oleh SPRM bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dan dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin.

“Untuk makluman, Datuk Bandar Shah Alam hanya dipanggil untuk membantu siasatan oleh SPRM pada petang Rabu, 28 September 2022 (semalam).

“Datuk Bandar Shah Alam telah kembali melaksanakan kerja seperti biasa di pejabat pada Khamis, 29 September 2022 (hari ini).

DISYORKAN UNTUK ANDA :


“MBSA juga ingin menegaskan bahawa akan sentiasa sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melengkapkan siasatan dengan pihak SPRM,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan seorang Datuk Bandar ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

Selepas keterangannya diambil, Datuk Bandar itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. Beliau dilaporkan dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan.

Awal minggu ini, media melaporkan tiga kakitangan sebuah majlis bandaraya di Selangor ditahan SPRM, dalam siasatan suruhanjaya itu terhadap penyelewengan tender projek tebatan banjir.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pegawai Gred G44, G29 dan J29 daripada jabatan landskap dan perbekalan bandaraya terbabit.

Tangkapan Datuk Bandar itu, menjadikan setakat ini seramai lapan pegawai PBT di Selangor dan seorang kontraktor ditahan SPRM.

BH sebelum ini turut melaporkan SPRM mengesan kewujudan kartel disyaki memonopoli tender projek yang dilaksanakan PBT negeri itu.

Difahamkan, kartel itu turut membabitkan pengurusan tertinggi PBT berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan tender secara runding terus kepada syarikat tertentu.

Kesan kehadiran kartel terbabit menyebabkan hanya pihak tertentu yang dipercayai rapat dengan mereka, dilantik sebagai kontraktor pelaksana, sekali gus mengakibatkan ada projek yang diberikan tidak dilaksanakan seperti dikehendaki.

Selain itu, SPRM mengesan kira-kira 68 syarikat kontraktor berada dalam senarai yang disediakan oleh jurutera yang ditahan untuk ditawarkan tender projek PBT.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Pulau Pinang memberitahu media bahawa pihaknya berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lalu.

Beliau berkata, setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.

“SPRM masih menjalankan siasatan dan kami percaya penahanan mereka ini berjaya membongkar sebuah kartel dengan tangkapan terbaru membabitkan pegawai kanan MBSA.

“Satu daripada dapatan kita ialah pegawai kanan itu terima habuan benda berharga yang nilainya berpuluh ribu ringgit. Kita sedang siasat bagaimana perbuatan rasuah itu berlaku dan bagaimana sebuah syarikat mengawal 30 syarikat lain untuk dapatkan projek di jabatan berkenaan di MBSA,” katanya kepada media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara, hari ini.

Ahad lalu, SPRM menahan tiga individu iaitu dua pegawai MBSA dan seorang kontraktor dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

PH Bantah PRU Sebab Banjir, Tapi Sibuk Berkempen Bukan Buat Persiapan Banjir

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker