Pelajar wajib tulis tesis dalam bahasa Melayu – UKM

Oleh Azrin Muhammad

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertegas untuk mewajibkan kesemua pelajar tahun akhir di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah menulis tesis atau latihan ilmiah dalam bahasa Melayu kecuali kepada pelajar dari luar negara.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Mohd. Ekhwan Toriman, inisiatif sedemikian mampu untuk dijadikan platform mengantarabangsakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dari luar negara termasuk memperkenalkan beberapa program berkaitan fonologi dan sistaksis dalam linguistik di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan dan Pusat Citra.



“Saya yakin bahawa usaha ini boleh membantu pelajar antarabangsa menjadi duta apabila mereka tamat pengajian dan pulang ke negara asal. Mereka boleh menguasai sekurang-kurangnya asas penguasaan bahasa Melayu,” katanya dalam satu laporan media tempatan, semalam.

Terdahulu, Mohd. Ekhwan menghadiri Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu yang berlangsung di Bangunan Canselori, UKM dengan tema Pemerkasaan Bahasa Dan Tamadun Alam Melayu.

Difahamkan acara yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan 60 peserta dari Thailand, Indonesia dan Jerman bagi mengupas serta mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama kepada pembentukan semangat kenegaraan Malaysia dalam seluruh aspek kehidupan.

Sementara itu, Mohd. Ekhwan berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak ketinggalan memperkasakan kedudukan bahasa Melayu apabila pernah mewajibkan pelajar asing untuk mengambil subjek bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button