Pemandu lori buang sampah dalam Sungai Pontian sudah ditahan

JOHOR BAHRU: Pemandu lori yang dirakam dalam video tular memaparkan tindakannya membuang sampah ke dalam sungai dekat Pontian, sudah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di bandar Pontian kira-kira 7 malam tadi, lima jam selepas usaha mencarinya dibuat.

“Kita cuba mengesan suspek selama lima jam termasuk di rumahnya tetapi tiada sehinggalah berjaya menghubungi dan menemuinya di kawasan bandar Pontian.

“Apabila berjaya ditemui dan ditahan, kita membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dan menjalankan pemeriksaan serta siasatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada acara pelepasan (Flag Off) Konvoi Program Ramah Mesra PDRM Johor bersama Brother Motor di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Semalam, tular satu video berdurasi 36 saat memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan sebuah lori satu tan sebelum memikul sampah daripada kenderaan berat itu dan membuangnya dari atas jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian.

Tindakannya itu dirakam orang awam sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook dan mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kamarul Zaman berkata, Onn Hafiz kemudian menghubungi beliau dan meminta pihak polis membantu mengambil tindakan.

“Saya kemudian mengarahkan Ketua Polis Daerah Pontian untuk mengambil tindakan mengesan suspek,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, suspek yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan dan diambil tindakan kompaun mengikut Rule 52 LN 166/59 selainmemandu tanpa lesen GDL.

“Perbuatan itu (membuang sampah dari kenderaan) adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan saman atau kompaun sehingga RM2,000,” jelasnya.

Difahamkan, lori milik suspek itu dihantar Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Selain itu, beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pentadbir sungai di Johor iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang mereka.

“SWCorp juga akan siasat, kita sudah bincang dengan mereka, SWCorp juga akan ambil tindakan dan mengenakan kompaun sehingga maksimum RM10,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, suspek mendapat bayaran daripada kerja mengutip sampah dari kilang dan tempat pembuangan sampah dan sampah dikutip sepatutnya dibuang di tempat khas, namun suspek bertindak mengambil jalan mudah.

“Kita sudah tahan suspek dan nasihat, dia juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Mungkin sebelum ini dia buat, orang tidak nampak,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker