Perhebat usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sempat beramah mesra dengan peserta Seminar Pengantarabangsaan Pengajian Tinggi 2022 (SPPT 2022) yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pagi semalam,

 

Oleh Azrin Muhammad

NILAI – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited memposisikan jenama pendidikan tinggi negara agar terus diiktiraf badan penarafan global sejajar dengan misi sasaran untuk menjadi hab pendidikan tinggi dunia menjelang 2025.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, antara badan penarafan yang menjadi fokus kementerian setakat ini adalah Times Higher Education (TIME) dan Quacquarelli Symonds (QS).

“KPT akan terus menarik minat pelajar antarabangsa menerusi pelbagai kaedah termasuklah perencanaan pelan, penggubalan dasar, penentuan strategi berkesan, aktiviti promosi dan kerjasama strategik.



“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan sentiasa dipantau agar ia sentiasa berada pada landasan yang betul, sekali gus dapat menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Noraini berucap sebelum merasmikan Seminar Pengantarabangsaan Pengajian Tinggi 2022 (SPPT 2022) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), pagi tadi.

Seminar berkenaan disertai 145 orang peserta IPT dari dalam dan luar negara yang turut membentangkan 44 kertas kerja berkaitan hala tuju pendidikan tinggi pada masa akan datang.

SPPT 2022 merupakan anjuran Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi (BEM) bersama USIM bertujuan berkongsi ilmu dan pandangan mengenai usaha dan keberkesanan pelaksanaan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.



Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Prof. Dr. Massila Kamalrudin dan Pengarah BEM, Prof. Madya Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah.

Dalam masa sama, Noraini turut melancarkan dua naskhah garis panduan baharu iaitu Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar untuk Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan Pelaksanaan Program Mobiliti di IPT Malaysia sebagai inisiatif menambah baik program mobiliti dan pengurusan pelajar antarabangsa di Malaysia.

Sementara itu, Noraini menambah kedua-dua garis panduan tersebut dapat memantapkan lagi hala tuju IPT di Malaysia supaya lebih berdaya saing dan sentiasa proaktif dalam memastikan agenda melonjakkan aspirasi pengantarabangsaan pendidikan tinggi tercapai, sekali gus mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Menggunakan tema Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang Mampan, SPPT 2022 turut membincangkan strategi baharu pengantarabangsaan serta langkah-langkah terbaik mempromosi pendidikan tinggi negara pasca pandemik,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker