Pogba kecewa ketika di Man United
London: Paul Pogba berkata bukan rahsia lagi karier kali keduanya di Manchester United tidak seperti diharapkannya selepas hanya memenangi dua trofi dalam tempoh enam tahun di Old Trafford.
Bintang Perancis yang memenangi Piala Dunia itu meninggalkan United pada musim panas lalu selepas menolak lanjutan kontrak dengan gaji £300,000 (RM1.5 juta) setiap minggu.
Selepas kembali ke Juventus, Julai lalu, Pogba mengimbas kembali detik bagaimana dia kembali menyertai United dari kelabnya sekarang dengan rekod perpindahan dunia bernilai £89 juta (RM451.8 juta).
Sebaik memenangi Liga Europa dan Piala Carabao pada 2016-17 yang juga musim pertamanya selepas kembali ke United, Pogba gagal menambah sebarang trofi dalam koleksinya dengan tiga musim terakhirnya di kelab itu dilanda kecederaan.
Pemain berusia 29 tahun itu mengakui bahawa dia mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada gergasi Liga Perdana itu.
“Hati saya membuat pilihan untuk kembali ke Juventus. Ia juga mungkin masa yang sesuai untuk kembali ke sini.
“Tiga tahun terakhir di Manchester, saya mengalami kecederaan dan segala-galanya tidak berjalan seperti yang saya harapkan.
“Kini cabaran saya adalah bersama Juventus. Mungkin ini adalah masa yang tepat untuk kembali membantu Juventus merangkul kejuaraan,” katanya.
METRO