Politeknik Merlimau juara Kategori Sosial



Penyelidik Politeknik Merlimau Melaka, dari kiri Mohamad Hasbullah Mustafa, Rodzah Yahya, Dr. Aspalilla Main dan Rozer Masudin memegang trofi dan hadiah yang dimenangi di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Oleh Rohana Man

PORT DICKSON – Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) terus melakar kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Juara Kategori Sosial pada Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu Peringkat Kebangsaan 2022 baru-baru ini.

Konvensyen yang diadakan di Politeknik Port Dickson itu menyaksikan PMM merangkul anugerah itu menerusi Kumpulan 69 iaitu gabungan unit-unit yang dianggotai Dr. Aspalilla Main dari Unit Penyelidikan, Inovasi & Komersial; Mohamad Hasbullah Mustafa, Unit Pengurusan Psikologi; Ts Rodzah Yahya, Unit Penyelidikan, Inovasi & Komersial dan Rozer Masudin dari Unit Komunikasi Korporat.



Dr. Aspalilla selaku ketua kumpulan, berkata, kemenangan itu hasil daripada kerja keras dan sinergi padu daripada semua ahli Kumpulan 69.

Katanya, ahli kumpulan itu mempertaruhkan produk inovasi Card of Activities 69 (Covits69) iaitu 69 keping kad yang boleh digunakan sebagai alat bantu beraktiviti kepada guru, pensyarah, jurulatih dan fasilitator secara lebih interaktif.

“Kad ini dibekalkan dengan sekurang-kurangnya 30 aktiviti yang dicadangkan untuk dimainkan bersama pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sebelum ini, PMM berjaya merangkul anugerah khas bagi kategori Energy Performance National Energy Award (NEA) 2020, sekali gus muncul sebagai agensi kerajaan pertama yang melaksanakan Kontrak Penjimatan Tenaga (EPC) yang berakhir pada September 2019.



Pada Disember 2020, PMM mencapai kedudukan ke-254 dalam UI GreenMetric World University Ranking 2020 daripada 912 penyertaan bagi kampus lestari dan hijau di seluruh dunia.

Manakala dalam pertandingan berprestij terbaharu itu, politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia bertanding bagi merebut kejuaraan yang mana sebanyak 225 peserta masuk bertanding.

Sementara itu, Rodzah berkata, peningkatan penglibatan pelajar secara aktif telah menjimatkan masa serta kos bagi penyediaan bahan aktiviti dan boleh diulang guna adalah ciri-ciri terbaik yang ada pada COVITS69.

Beliau berharap manfaat produk itu dapat dikongsikan kepada lebih ramai orang.



“Tambahan pula, generasi pelajar hari ini memerlukan gaya pembelajaran yang lebih interaktif, melibatkan pelbagai gerakan psikomotor, banyak sesi praktikal dan mencabar minda mereka untuk berfikir,” katanya.

Menurutnya, sebagai seorang guru atau pensyarah, kita perlu proaktif dan kreatif dalam penyampaian ilmu supaya penguasaan serta kefahaman pelajar lebih baik.

Dalam satu perkembangan lain, kumpulan kedua PMM iaitu Wise Ladies daripada Jabatan Perdagangan menerima anugerah Perak bagi kategori Inovasi Penyampaian & Perkhidmatan menerusi inovasi Sistem Tempahan Bilik Kuliah (e-BK).



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker