Saka perlu pindah jika mahu trofi

LONDON: Bintang Arsenal, Bukayo Saka dinasihatkan untuk meninggalkan The Gunners sekiranya dia mahu mengumpul trofi dalam kariernya.

Lulusan akademi Hale End itu menunjukkan kematangan melebihi usianya sehingga diberikan penampilan sulung oleh Unai Emery pada November 2018.

Pada usia 21 tahun, dia mendapat kepercayaan untuk menjadi tonggak bersama kelab dan negaranya, England. Bagaimanapun dia masih belum berpeluang memainkan peranan untuk membantu pasukannya memenangi kejuaraan.

Saka tidak beraksi ketika Arsenal mara ke separuh akhir dan akhir Piala FA 2020 – kejohanan terakhir yang menjelmakan trofi buat kelab London Utara itu.

Menurut bekas penjaga gol England dan Liverpool, David James, Saka sepatutnya memilih Etihad dan bermain untuk Manchester City kendalian Pep Guardiola.

Pengurusan City menganggap bintang Arsenal itu adalah pengganti terbaik untuk penyerangnya, Raheem Sterling.

Saka dinobatkan Pemain Terbaik Arsenal untuk dua musim dan musim lalu dia muncul penjaring terbaik The Gunners dengan 12 gol dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, aksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah mungkin menjadi penentu kepada perjalanan masa depan Saka. Kontraknya di Emirates akan berakhir pada musim panas 2024 dan pengendali Arsenal, Mikel Arteta sedang berusaha mengekalkan pemain 21 tahun itu.

Permulaan cemerlang Arsenal musim ini mungkin merangsang Saka untuk melanjutkan kontraknya, tetapi dengan City hanya satu mata di belakang mereka, ia mungkin akan menjadi pesaing untuk gelaran Liga Perdana Inggeris dan juga khidmat pemain itu.

“Saya suka dengan apa yang Arteta lakukan di Arsenal dan Bukayo Saka adalah sebahagian besar daripadanya, tetapi saya juga faham kenapa pemain mahu berpindah.

Apa yang terbaik untuk Bukayo? Jika anda mahu menjadi sebahagian daripada pencetus kebangkitan, anda boleh kekal di Arsenal kerana mereka sedang membina sesuatu selepas 18 tahun tidak memenangi liga,” kata James.

Arsenal akan menentang Tottenham Hotspur di Emirates malam esok apabila Liga Perdana Inggeris kembali bersambung selepas rehat perlawanan antarabangsa.

Arsenal masih di puncak liga dengan kelebihan satu mata ke atas City dan Tottenham selepas tujuh perlawanan musim ini.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker