Pasangan suami isteri maut angkara tayar lori pecah

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri maut, selepas kereta Proton Preve dinaiki mereka, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan dalam nahas di Kilometer 38.2, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata kemalangan pada jam 6.29 petang itu, dipercayai berlaku apabila lori terbabit hilang kawalan selepas tayarnya pecah secara tiba-tiba.

“Siasatan awal mendapati, lori berkenaan berada di lorong kiri, manakala kereta Proton Preve dinaiki pasangan itu berada di lorong kanan.

“Secara tiba-tiba, tayar belakang sebelah kiri lori itu pecah menyebabkannya ia hilang kawalan hingga berlanggar dengan Proton Preve terbabit sebelum kereta itu terbabas ke kiri lalu melanggar pokok,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 31 tahun manakala penumpang lelaki berumur 35 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Beliau berkata, pemandu lori itu turut mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk menerima rawatan.

“Jenazah kedua-dua mangsa turut dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin, berkata kedua-dua mangsa yang maut akibat tersepit dalam kereta yang dinaiki.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum jenazah kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker