‘2 lelaki tembak rumah, keluarga hidup ketakutan’

IPOH: Tindakan dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah sebuah rumah di kawasan perumahan di Sitiawan, Manjung, tengah hari semalam, menyebabkan keluarga terbabit kini hidup dalam ketakutan.

Insiden tembak itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa, namun menyebabkan kerosakan pada cermin kereta dimiliki keluarga itu yang diletakkan di kawasan rumah berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kejadian dipercayai berlaku pagi semalam apabila seorang wanita yang tinggal di rumah itu terdengar bunyi letupan, namun tidak mengendahkannya sebelum menyedari letupan itu berpunca daripada tembakan ketika ingin keluar rumah kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, aduan kejadian itu diterima daripada rakan keluarga terbabit pada kira-kira jam 1.07 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan dijalankan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah Perak mendapati terdapat kesan lubang pada bahagian cermin belakang kereta dipercayai terkena tembakan, selain menemukan satu kelongsong peluru di tempat kejadian.

“Kepala peluru ditemui di kawasan bonet belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pemeriksaan pada sistem kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian mendapati dua lelaki bermotosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran melepaskan satu das tembakan yang mengenai kereta mangsa.

“Suspek kemudian dilihat cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah, namun pistolnya dipercayai gagal berfungsi, menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya.

Mohd Yusri berkata, rumah itu didiami seorang lelaki, isterinya dan dua anak mereka.

Beliau berkata, motif kejadian masih disiasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker