Chelsea, Potter masih harapkan Lukaku
LONDON: Pengendali Chelsea, Graham Potter belum berputus asa tentang masa depan Romelu Lukaku di Stamford Bridge.
Penyerang Belgium itu melengkapkan kepulangan impiannya ke Inter Milan pada musim panas lalu selepas kempen mengecewakan di London.
Lukaku, yang bergelut mendapat kepercayaan pengendali sebelum ini, Thomas Tuchel, dikatakan mahu terus kekal di Inter sebaik tamat tempoh pinjaman setahun ke kelab Serie A itu.
Bagaimanapun perjanjian antara Chelsea dan Inter tidak mempunyai pilihan untuk membelinya pada musim panas tahun depan.
Chelsea dan Potter dikatakan belum bersedia untuk menamatkan karier Lukaku di Stamford Bridge.
Pengendali The Blues itu terbuka untuk berbincang dengan pemain 29 tahun berkenaan dalam usahanya untuk menghidupkan kembali kariernya apabila dia pulang ke Chelsea nanti.
Sejak kepulangan ke San Siro, bekas bintang Everton dan Manchester United itu sudah meledak satu gol dalam tiga penampilan Serie A, di sebalik kecederaan buku lali dan masalah otot dihadapinya.
Inter turut bergelut mencari rentak dengan Lukaku kerap dibelenggu kecederaan, dan permulaan kempen mereka juga kurang memberangsangkan.
Skuad kendalian Simone Inzaghi kini berada di tangga ketujuh liga selepas merakam empat kemenangan dan tiga kekalahan setakat ini.
AGENSI