Kabinet kini tidak boleh harap bab ekonomi

(Tahun 2023 bakal menjadi tempoh paling sukar dengan jangkaan 66 buah negara bakal mengalami kejatuhan ekonomi akibat krisis ekonomi dan beberapa isu lain termasuk perbalahan Rusia-Ukraine)

Oleh Azrin Muhammad

Pejam celik kita sudah menghampiri suku terakhir tahun 2022 dan sudah tentu kita semua mahu tahun depan bermula dengan perkhabaran baik, khususnya dari segi ekonomi selepas keletihan meranduk cabaran kenaikan kos sara hidup saban tahun.

Kata-kata para penganalisis ekonomi setakat ini sebenarnya sudah mula membuatkan kita risau kerana ekonomi global yang bermula dari Eropah, Amerika Syarikat dan China dijangka berdepan kelembapan pada tahun 2023 yang jaraknya hanya tiga bulan dari sekarang.



Barisan Kabinet kini yang tidak kurang lembab menambahkan lagi kerisauan kerana tidak habis bertelagah tunjuk hebat dan tidak mahu melepaskan jawatan walaupun secara jelas mereka tidak mampu buat kerja.

Kesan paling besar akibat daripada ego para pemimpin yang kini dikepalai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terus adalah rakyat yang secara majoriti cukup-cukup makan, bukan tempias tetapi tenggelam dek ombak naik turunnya ekonomi.

Jangan kata rakyat yang makan gaji, rakyat yang berniaga sendiri juga sudah ramai tersembam ke tanah khususnya selepas kenaikan kos sara hidup yang sehingga kini tidak nampak jalan penyelesaiannya.

Dalam masa sama, Menteri Kewangan kita dengan selamba menolak dakwaan negara akan mengalami krisis menggunakan modal pertumbuhan Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif iaitu 5.0 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.



Baru-baru ini, Ismail Sabri yang didakwa terbang ke Amerika Syarikat pada 22 hingga 25 September lalu bersama-sama ratusan pegawai tanpa fungsi menggunakan pesawat sewa mengikut jam gagal membawa pulang sebarang perniagaan yang menguntungkan negara.

Tidak habis-habis menerima pujian memberi ucapan dalam bahasa Melayu ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 yang berlangsung di ibu pejabat PBB, New York tetapi apakah impak terhadap ekonomi?

Dalam konteks kenegaraan memang patut dapat pujian tetapi dari segi ekonomi ia tidak memberi sebarang impak khususnya dalam menghadapi gelombang kelembapan ekonomi yang tidak lama lagi akan melanda dunia.

Ismail Sabri tidak mempunyai aura seperti Perdana Menteri Malaysia lain sebelum ini yang rata-rata pemimpin dunia menanti apakah buah fikiran yang hendak diutarakan semasa berucap di pentas dunia.

Desakan sudah dibuat pelbagai pihak untuk membubarkan kerajaan agar Kabinet yang lebih mantap dapat dibentuk supaya Malaysia dapat berdiri kukuh menghadapi ujian getir beberapa tahun mendatang.

Jika nakhoda tidak mempunyai pengalaman yang cukup, apatah lagi mahu memimpin anak buah yang setakat ini buat kerja berterabur di peringkat bawahan sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal.

Rakyat kini sudah boleh berfikir dan boleh menilai prestasi para pemimpin.

Kita mahukan pemimpin yang benar-benar boleh buat kerja dan mempunyai aura kepimpinan yang sejati, bukan setakat dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.

Pengalaman Ismail Sabri sebelum ini juga dilihat ‘biasa-biasa’ kerana mengelola kementerian yang tidak terlalu mencabar, berbeza seperti hari ini yang sememangnya tidak boleh melakukan kesilapan.

Cara terbaik yang sempat untuk Malaysia lakukan sekarang adalah membubarkan kerajaan dan menyusun semula barisan kepimpinan yang berkualiti sebelum bersiap siaga dengan strategi lebih mantap.

Dalam soal ekonomi, kita tidak boleh sambil lewa dan memerlukan persiapan rapi. Bak kata orang dulu-dulu, ‘takkan dah berak baru nak korek lubang?’.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker