Pelajar POLYCC jalani latihan industri di Doha



Kumpulan pertama pelajar bidang hospitaliti dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang diterbangkan ke Holiday Villa Doha, Qatar untuk menjalani latihan industri bermula Oktober sehingga Disember ini.

 

Oleh Azrin Muhammad

SEPANG – Seramai 35 pelajar bidang hospitaliti dari Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menjalani latihan industri di Holiday Villa Doha, Qatar bermula Oktober sehingga Disember ini.

Program latihan industri di POLYCC merupakan salah satu syarat bagi setiap pelajar untuk melayakkan mereka mendapat Sijil dan Diploma bagi program pengajian masing-masing.



Menurut kenyataan JPPKK, latihan industri tersebut membolehkan pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian menerusi kerjasama yang dijalin antara JPPKK dengan pemain industri sebenar di peringkat antarabangsa seperti syarikat Holiday Villa Hotels & Resorts di Doha, Qatar.

Tambah kenyataan itu, pelajar yang terlibat terdiri daripada 16 pelajar Sijil Pastri, Kulinari dan Operasi Perhotelan dari Kolej Komuniti Selayang; tujuh pelajar Diploma Pengurusan Hotel dari Politeknik METro Kuala Lumpur; lima pelajar Sijil Seni Kulinari dari Langkawi Tourism Academy-Kolej Komuniti; tiga pelajar dari Sijil Kulinari dan Operasi Perhotelan Kolej Komuniti Chenderoh; dua pelajar dari Diploma Pengurusan Resort Politeknik Kota Kinabalu dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin serta empat orang alumni Sijil Kulinari Kolej Komuniti Sungai Petani.

Dalam masa sama, JPPKK juga memberitahu latihan industri itu turut membolehkan para pelajar menimba pengalaman lebih luas dalam yang diceburi, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten serta berdaya saing bagi memenuhi keperluan semasa.

Selain itu, pelajar turut berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dari negara luar sebelum menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia di masa akan datang.



Penerbangan pertama pelajar ke Doha telah bermula pada 22 September lalu, manakala penerbangan terakhir pada Selasa lalu.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker