PH Gagal Tadbir Negar, Gagal Penuhi Janji- Syed Johan
KUALA LUMPUR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ternyata membuktikan bahawa mereka tidak mampu untuk mentadbir negara disusuli dengan pelbagai kerosakan serta janji bulan bintang yang mereka ukirkan.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, perkara pertama yang dilakukan oleh mereka apabila berjaya menjadi kerajaan adalah membalas dendam kepada UMNO/Barisan Nasional (BN), bukannya mendahulukan janji yang mereka taburkan.
“Perkara pertama yang PH lakukan ketika menang adalah membalas dendam. Mereka menunjukkan pemimpin-pemimpin kita (UMNO/BN) ini sebagai penjenayah. Pada ketika itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya ‘dicabuli’ oleh PDRM apabila rumahnya dan almarhum ibunya, Tun Rahah digeledah.
“Kejadian tersebut disiarkan oleh media untuk dihakimi oleh ‘mahkamah’ rakyat dan netizen. Semata-mata nak tunjukkan bahawa kezaliman rejim UMNO/BN ini dapat dikalahkan. Pencuri, penyangak dan penyamun besar sudah dapat ditangkap, segala barang-barangan peribadi ditunjukkan di media, berlori-lori kononnya yang akhirnya hari ini kalau kita tengok dikembalikan kepada Datuk Seri Najib dan keluarganya. Tidak ada kena mengena pun sebenarnya dengan apa yang mereka cuba tonjolkan kepada mata rakyat,” katanya semasa wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah itu turut berkata, PH turut menghapuskan Good Service Tax (GST) tanpa melakukan sebarang penyelidikan sehingga negara rugi lebih RM20 bilion.
“Selain itu juga, dari segi untuk feel good factor mereka, GST dihapuskan kerana ianya terkandung dalam manifesto mereka tanpa apa-apa study ataupun research tentang kepentingan sistem tersebut sehingga merugikan negara.
“Kita rugi lebih RM20 bilion hasil kepada negara. Dahlah hapuskan GST, sistem percukaian negara pada ketika itu pun dimandulkan. Memang rakyat rasa happy ataupun suka namun akhirnya perkara itu merugikan negara sehingga ke hari ini.
“Jadi itulah perkara yang dibuat oleh PH sehingga menyebabkan negara hilang pendapatan dan bermula daripada situlah bermulanya rentetan kerosakan yang dilakukan satu persatu,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, faktor utama mengapa PH dapat memerintah negara adalah disebabkan fitnah dan juga proses doktrinisasi yang dilakukan oleh mereka selama dua tahun sehingga menyebabkan rakyat keliru dengan janji-janji palsu mereka.
“Kemenangan PH pada ketika itu boleh kita gambarkan secara keseluruhannya apabila kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang lebih tersusun. Inilah yang berlaku pada PRU ke-14 dahulu.
“Memang kalau ikut apa yang berlaku sepanjang dua tahun itu, momokkan PH bermula daripada PKR bersama sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR). Mereka memomokkan UMNO/BN adalah raja rasuah dan sebagainya. Tambahan pula akhirnya Tun Dr Mahathir, bekas pimpinan kita turut bersama mereka memomokkan perkara sebegitu, memfitnah kita sehingga rakyat menjadi keliru. Apa yang rakyat fikir ketika itu adalah untuk membuang UMNO/BN daripada kerajaan. Itu matlamat utama mereka ketika itu.
“Faktor utama saya kira adalah mereka berjaya memperdaya majoriti rakyat Malaysia dengan janji manis sebagaimana dalam manifesto bukan ‘kitab suci’ mereka, itulah yang menawarkan segala janji bulan dan bintang, indah-indah belaka. Jadi, akhirnya PH menang dan it happen to sequence la sehingga apa yang berlaku pada hari ini,” katanya lagi.
UMNO Online