Pyongyang lancar dua peluru berpandu balistik lagi minggu ini



SEOUL – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik hari ini, menjadikan keseluruhan empat pelancaran minggu ini oleh negara bersenjata nuklear itu.

Ujian itu dilakukan ketika Seoul, Tokyo dan Washington meningkatkan latihan ketenteraan bersama untuk menentang tindakan agresif Pyongyang.

Tentera Korea Selatan mengesan ‘dua peluru berpandu jarak dekat antara jam 6.45 pagi dan 7.03 pagi yang dilancarkan dari Sunan di Pyongyang ke Laut Timur’, merujuk pada kawasan perairan yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.

Dalam satu kenyataan, Ketua Turus Bersama Seoul memaklumkan peluru berpandu berkenaan bergerak kira-kira 350 kilometer (km) pada ketinggian 30km dengan kelajuan Mach 6, dan menyifatkannya sebagai ‘provokasi serius’.



Tokyo turut mengesahkan pelancaran itu dan memaklumkan ia mendarat di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.

Naib Menteri Pertahanan Jepun, Toshiro Ino, berkata peluru berpandu berkenaan ‘dilihat bergerak dalam trajektori di luar kebiasaan’.

Beberapa pakar berpandangan, trajektori di luar kebiasaan menggambarkan peluru berpandu itu boleh dikendalikan ketika terbang, sekali gus sukar dikesan dan dipintas.

Pusat Pemerintah Indo-Pasifik AS, dalam satu kenyataan, menyifatkan pelancaran itu menunjukkan kesan ketidakstabilan senjata pemusnah dan program peluru berpandu haram Korea Utara.



Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan latihan antikapal selam yang pertama dalam lima tahun semalam, beberapa hari selepas tentera laut Washington dan Seoul melaksanakan latihan berskala besar di perairan berhampiran semenanjung Korea.

Naib Presiden AS, Kamala Harris, berada di Seoul Khamis lalu dan melawat Zon Bebas Tentera (DMZ) memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan, bertujuan menegaskan komitmen AS mempertahankan Korea Selatan daripada Korea Utara.

Berikutan rundingan yang tergantung, Pyongyang menggandakan operasi program senjatanya yang diharamkan, dengan menjalankan beberapa siri ujian tahun ini dan meminda undang-undang bagi mengisytiharkan Korea Utara sebagai kuasa nuklear kekal.

Ketika ini, Washington menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk melindungi negara itu daripada ancaman Korea Utara.





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker