Ayat Kursi jadi pendinding, 5 sekeluarga selamat selepas 4 hari

ISKENDERUN, TURKIYE: “Empat hari terperangkap bawah runtuhan bangunan tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman, kami hanya mampu berdoa, berdoa dan berdoa”.

Mengimbau detik cemas terperangkap bersama isteri dan tiga anak termasuk bayi berusia dua bulan di dalam rumahnya yang runtuh, Osman Colak, 34, berkata dia hanya mampu berdoa supaya keluarganya dapat diselamatkan.

Ketika ditemui di kawasan runtuhan gempa di wilayah itu dalam misi bantuan Turkiye-Syria Muslim Care Malaysia (MCM), katanya, kejadian berlaku sekelip mata dan menjejaskan hampir keseluruhan bangunan.



Kediaman Osman terletak di tingkat paling bawah bangunan pangsapuri empat tingkat. Keseluruhan bangunan itu kemudian terpaksa dirobohkan berikutan tidak lagi selamat untuk didiami.

“Sungguh Allah SWT itu maha berkuasa, ketika saya dan isteri tidak lagi mempunyai kudrat untuk bertahan sehinggakan tidak lagi mampu berkata-kata, secara tiba-tiba terdengar bunyi pasukan keselamatan berhampiran kawasan kami terperangkap,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga tidak sempat lari menyelamatkan diri kerana kejadian begitu pantas, apatah lagi dengan keadaan bayi yang masih kecil.



“Kami terperangkap, hanya mampu menjerit meminta bantuan. Jeritan bukan dari kami sahaja tetapi ramai lagi yang menjerit meminta bantuan. Hanya Allah yang tahu ketika itu, ayat kursi jadi pendiding saya, rumah saya berada di aras paling bawah,”katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, semua ahli keluarganya termasuk tiga anak sedang tidur di dalam bilik.

“Bangunan kediaman kami pangsapuri empat tingkat, rumah kami di tingkat paling bawah sekali, menyebabkan kami terperangkap teruk dan gagal keluar akibat runtuhan.

“Kami hanya mampu bercakap sesama sendiri, anak-anak menangis kelaparan, saya sentiasa menyebut nama mereka bagi memastikan mereka menyahut panggilan kerana keadaan terlalu gelap,” katanya.



Menurut Osman, bayinya yang berusia dua bulan berada di sisi isteri dan mengalami kecederaan bahagian tangan kanan.

“Masuk hari keempat, kami dengar jeritan dari luar menjerit bertanya sama ada ada sesiapa masih hidup dalam bangunan. Kami menyahut dan membalas jeritan itu, saya minta anak-anak menangis bagi memberi tanda ada lagi mangsa terselamat di bawah runtuhan ini.

“Saya bersyukur pasukan penyelamat berjaya menemui kami, saya tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi anak dirawat di hospital,”katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan trauma amat teruk kepada dirinya dan keluarga sehingga isterinya meminta mereka berpindah dari kawasan itu.



“Isteri dan tiga anak kini berpindah ke wilayah yang lebih selamat kerana trauma teruk. Saya masih di sini kerana ramai lagi ahli keluarga terperangkap dan belum ditemui. Saya berharap ada kejaiban seperti mana saya sekeluarga,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button