Ringgit terus merudum berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang mengukuh hari ini, susulan sentimen berhati-hati berikutan jangkaan AS menaikkan kadar faedahnya selain unjuran suku terkini oleh Rizab Persekutuan (Fed) negara itu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4220/4245 berbanding dolar AS daripada 4.4170/4185 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks dolar AS (DXY) meningkat kepada 105.078 mata yang juga angka tertinggi sejak 2002.

Menurutnya, dolar AS kekal menjadi pilihan ramai sejak Jumaat lepas apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) mencecah paras lebih tinggi daripada dijangkakan.

“Unjuran ekonomi ketika mesyuarat Fed pada Mac lepas menyaksikan mereka menyemak semula unjuran Kadar Dana Fed bagi 2022 kepada 1.9 peratus daripada 0.9 peratus.

“Bagi 2023, unjuran kadar utama itu adalah pada 2.8 peratus daripada sebelumnya iaitu 1.6 peratus. Keadaan serupa bagi 2024 dengan unjuran Kadar Dana Fed pada 2.8 peratus daripada 2.1 peratus sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan, berikutan itu kadar yang dilabelkan sebagai neutral, kadar yang sama ada menguncup mahu pun mengembang, terletak dalam lingkungan 2.5-3.0 peratus.

“Selain itu, kami juga percaya bahawa Fed tidak mahu mengurangkan aktiviti ekonomi dan sebaliknya akan memastikan ekonomi kekal stabil berikutan kesukaran menseimbangkan kadar inflasi yang mampan dan pertumbuhan.

“Mungkin juga pada tempoh tertentu tahun ini, Fed mahu menghentikan seketika kempen kenaikan kadar faedah kerana tindak balas dasar monetari (kenaikan kadar faedah) itu melibatkan tempoh sekitar 18 bulan sebelum kesannya terhadap ekonomi itu dapat dilihat,” katanya.

Anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed akan membincangkan keputusannya dalam tempoh dua hari mulai hari ini.

Dalam pada itu ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3754/3784 daripada 5.3892/3910 pada Isnin, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1742/1765 daripada 3.1770/1783 serta meningkat berbanding euro kepada 4.6091/6117 daripada 4.6211/6226 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.2963/2984 daripada 3.2830/2844.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker