Trossard hukum benteng Liverpool

LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui tahap keyakinan Liverpool merosot ketika hatrik Leandro Trossard membolehkan Brighton mengikat mereka 3-3 di Anfield.

Liverpool hanya menang dua daripada tujuh perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini, dan sudah ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Arsenal – lawan mereka di Emirates minggu depan.

Anak buah Klopp hampir dikejutkan dengan kekalahan pertama dalam saingan liga di Anfield sejak tahun 2017 apabila penyerang Belgium itu meledak dua kali dalam tempoh 17 minit pertama.

The Reds bagaimanapun bangkit dengan dua gol Roberto Firmino sebelum gol sendiri Adam Webster meletakkan tuan rumah di landasan kemenangan.

Bagaimanapun dalam perlawanan pertama Roberto De Zerbi sebagai pengendali Brighton, The Seagulls meraih keputusan positif apabila Trossard melengkapkan hatrik tujuh minit sebelum tamat permainan.

“Tahap keyakinan tidak cukup tinggi. Kami sepatutnya bertahan ketika ketiga-tiga gol itu dengan lebih baik.

“Kami perlu berusaha, pemain-pemain boleh melakukannya dengan lebih baik. Tugas saya ialah mewujudkan situasi untuk mereka beraksi lebih baik,” kata Klopp.

Liverpool kekal di tangga kesembilan liga, manakala Brighton terus menghuni tangga keempat.

Selepas menggantikan Graham Potter yang menjadi bos baharu Chelsea, De Zerbi menerapkan corak permainan yang berjaya memerangkap Liverpool.

“Potter perlu diberi pujian kerana dia meninggalkan pasukan yang hebat untuk saya. Saya tidak lakukan banyak perubahan, hanya menambah sedikit buah fikiran saya,” kata De Zerbi.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker