Angkat Wanita Dalam Pentadbiran Dan Politik

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bersetuju untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam PRU15 akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan berkenaan bukan sahaja mengiktiraf keupayaan dan kemampuan wanita untuk memimpin, tetapi ianya merupakan satu iltizam UMNO memperkasakan peranan wanita di negara ini malah agenda ini merupakan usaha berterusan yang dilakukan Wanita UMNO sejak sekian lama dalam memartabatkan wanita-wanita di negara ini.

Terbaru, menurut beliau menerusi simposium Women Re-Energize Leadership Development ‘WoRLD’ – Mengarus Perdana Kepimpinan Wanita’ yang diadakan pada 23 hingga 25 September 2022 lalu telah menghasilkan resolusi dalam usaha memperkasakan wanita.

“Antaranya mahu penyertaan Wanita sebagai pembuat keputusan dalam politik ditingkatkan sehingga sekurang-kurangnya 30 peratus melibatkan semua lapisan kepimpinan parti, sayap Puteri UMNO dan juga komponen parti Barisan Nasional yang lain.



“Bagi tujuan ini, Wanita UMNO akan membangunkan sistem maklumat ‘Profail, Prestasi dan Kelayakan’ yang akan menjadi ‘CV Bank Wanita’ untuk menjadi rujukan kepada pucuk pimpinan parti di dalam memilih kriteria tertentu bagi sesebuah pemilihan calon samada di peringkat kerusi Parlimen, Dewan Undangan Negeri mahupun sebagai Ahli Dewan Negara, Senator kelak.

“Bagi memastikan kesinambungan usaha untuk mencungkil potensi dan bakat Wanita yang kompeten dan berkualiti diketengahkan sebagai calon-calon wakil rakyat, anggota pembuat dasar, peneraju GLC dan GLIC, sebuah Akademi Kepimpinan Wanita akan ditubuhkan dengan modul yang profesional dan menepati kehendak semasa keperluan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Noraini seterusnya menambah Wanita UMNO sentiasa berusaha menjaga kepentingan partisipasi kaum wanita di dalam kumpulan pembuat dasar seperti mana yang telah diangkat sebagai agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita juga menyambut seruan Datuk Seri Presiden, program Perkaderan Bakat (Talent Scouting) akan dijalankan secara berterusan. Sebuah Papan Pemuka (Dashboard) akan dibangunkan bagi mengurus keperluan pembangunan dan pendidikan pimpinan Wanita yang lebih profesional meliputi berbagai kaum dan peringkat umur.



“Di kesempatan ini juga, Wanita UMNO Malaysia mengucapkan berbanyak terima kasih atas keprihatinan pucuk pimpinan UMNO kerana meluluskan resolusi yang dibawa oleh wanita. Ini jelas menunjukkan kematangan dan keterbukaan UMNO sebagai parti politik adalah jauh ke hadapan berbanding yang lain,” tambahnya.
UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker