Azeem raih tempat kelima di Jepun

KUALA LUMPUR: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi menamatkan acara 200 meter (m) di Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun dengan berada di tempat kelima, petang tadi.

Azeem menamatkan larian yang berlangsung di Stadium Denka Big Swan itu dengan catatan 20.98 saat (s) sekali gus melepasi sasarannya untuk mendapatkan catatan di bawah 21s.

Dalam perlumbaan itu, atlet mewakili pasukan Tsukuba Omiya Castle, Uzawa Toba memenangi saingan dengan catatan 20.60s manakala tempat kedua menjadi milik Keigo Yasuda dari Sumitomo Electric Hyogo (20.75s).

Rakan senegaranya yang mewakili IxZOG Osaka, Uemoto Naoki melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 20.94s.

Jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah bagaimanapun berpuashati dengan prestasi dipamerkan anak didiknya yang berjaya mencatat keputusan konsisten di sepanjang tahun ini.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan larian dan catatan masa yang dilakukan Azeem selepas apa yang dilaluinya sepanjang tahun ini.

“Dari segi catatan masa juga saya berpuas hati sebab dia berjaya mengekalkan di bawah 21s dan ia adalah catatan konsisten yang dilakukan Azeem setakat ini,” katanya.

Untuk rekod, catatan masa terbaik dilakukan Azeem bagi acara 200m ialah 20.83s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia, Ogos lalu.

Begitupun, catatan dilakukan Azeem itu masih belum dapat memecahkan rekod kebangsaan dilakukan Russel Alexander Nasir Taib iaitu 20.77s di Queensland Track Classic pada 23 Mac 2019.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker