Wilayah ‘jajahan’ asing

Kuala Lumpur: Terus ‘membiak’ dan seolah-olah sukar lagi dibendung bilangannya. Itu gambaran kebanjiran peniaga warga asing yang kembali ‘menakluk’ sekitar kawasan Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini.

Hasil penyamaran wartawan Harian Metro dilakukan sejak tiga hari lalu mendapati bilangannya meningkat berkali ganda berbanding ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Peniaga warga asing ini dikesan kembali ke ‘tapak’ asal untuk meneruskan aktiviti selain menjajah lokasi baharu berhadapan gerai peniaga tempatan.

Penyamaran wartawan Harian Metro mendapati, lebih 20 peniaga buah, sayuran dan barang basah seperti ikan ‘berlonggok’ di sekitar PHS termasuk berniaga di kaki lima kedai di kawasan itu.

Manakala lokasi berhampiran di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur ibarat ‘lubuk’ perniagaan ratusan warga asing membabitkan Myanmar, Rohingya dan Bangladesh.

Mereka bukan saja berniaga di kaki lima bangunan dan kawasan parkir malah turut menyewa banyak premis perniagaan di lokasi sama.

Bagaimanapun, suasana di kawasan itu lebih jijik dan meloyakan apabila peniaga warga asing berkenaan melonggokkan sampah seperti sayur dan ikan busuk di tepi jalan, selain ada membuka restoran makanan negara asal mereka di situ.

Harga buah, sayuran dan barang basah di kedua-dua lokasi berkenaan didapati lebih murah antara RM1 hingga RM2 berbanding harga ditawarkan peniaga tempatan.

Selain itu mereka dikesan menjual pelbagai produk makanan, ikan kering dan sos ikan dari negara asal yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini.

Manakala buah dan sayuran pula didakwa diambil daripada pemborong dari Cameron Highlands, Pahang dan kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Tidak terkecuali apabila ada antara sayur-sayuran dijual turut dikutip dari tempat pembuangan berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur.

Salah seorang peniaga sayur di PHS yang enggan dikenali mendakwa ada pihak yang memberi kebenaran kepada beberapa peniaga warga asing berniaga dengan membuka lima khemah di hadapan gerai peniaga tempatan sejak awal tahun ini.

Menurutnya, harga jualan juga agak berbeza kerana warga asing terbabit menjual barangan pada harga lebih murah walaupun kualiti sayuran kurang baik.

“Kehadiran mereka memang amat menjejaskan (peniaga tempatan) malah harga jualan mereka juga lebih murah. Kami jual timun Jepun RM5 sekilogram dan mereka (peniaga asing) jual selonggok dua kilogram pada harga RM3.

“Peniaga tempatan nak jual murah sangat pun tak boleh kerana kami perlu memikirkan kos lain seperti lesen dan sewa kedai. Manakala mereka dapat berniaga dengan mudah… cuma bayar duit khemah saja,” katanya ketika ditemui, semalam.

Wanita itu berkata, mereka sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi setakat ini warga asing terbabit masih berniaga di situ.

“Saya berharap ada tindakan lebih tegas dapat diambil. Ketika tiada peniaga asing di sini kami berasa lega dan pendapatan pun agak baik.

“Di dalam PHS memang tiada warga asing (berniaga) namun di kawasan sekitar luar PHS dipenuhi golongan penjaja haram ini,” katanya.

Pekerja swasta berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur berkata, warga asing yang berniaga di berhampiran pasar berkenaan sememangnya tidak menjaga kebersihan kawasan, malah menjadikan lokasi ini bagaikan ‘perkampungan’ mereka.

Menurutnya, mereka membuang barang jualan sudah rosak dan busuk di hadapan kedai sehingga membukit dan berbau busuk.

“Persekitaran di sini memang menjijikkan. Apa yang saya perhatikan, pelanggan mereka adalah dikalangan warga asing juga.

“Harga ditawarkan pula agak murah dan ada juga yang sama dengan harga di pasar kita. Mungkin yang murah sedikit daging dan ikan, manakala sayur kebanyakanya dijual RM1 seikat,” katanya.

‘Mereka semakin bertambah walaupun sudah diserbu’

“Mereka (penjaja haram) bagaikan penyakit yang tiada penawarnya. Walaupun diperangi sejak lebih dua dekad namun bilangan mereka semakin ramai dan bertambah lebih dua kali ganda,” ujar seorang peniaga tempatan, Ismail Abdullah, 43, menyifatkan Pasar Harian Selayang (PHS) terus kekal menjadi lubuk peniaga haram warga asing walaupun pelbagai tindakan sudah dilakukan.

Menurutnya, biarpun beberapa kali diserbu penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), peniaga warga asing dari Myanmar, Kemboja dan Bangladesh di Pasar Selayang di sini bagaikan tidak serik dan masih terus berniaga secara haram.

“Mereka terus bermaharajalela di sekitar kawasan luar pasar PHS. Ini mungkin kerana rata-rata rumah kedai di kawasan itu dan Pasar Borong Kuala Lumpur dipenuhi warga asing yang menjalankan perniagaan sejak lebih sedekad lalu.

“Saya anggarkan terdapat lebih 300 gerai dibuka warga asing di kaki lima dan hadapan premis di kawasan ini. Mereka menjual ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Selain itu ada juga yang menyewa premis dan menjual pakaian, barang mainan, perkakas dapur, makanan siap masak selain barangan mentah.

“Sekali pandang, situasi di sini tidak ubah seperti Little Yangon atau Little Dhaka. Orang tempatan tidak berani masuk ke kawasan ini,” katanya yang berniaga dan menjadi pembekal sayur sejak 25 tahun lalu.

MPS buat operasi secara lebih kerap

Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tetap meneruskan usaha membasmi kegiatan penjaja haram di kawasan itu melalui operasi diadakan secara lebih kerap.

Unit Perhubungan Awam Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, terbaru pihaknya menyita barangan tiga penjaja haram warga asing di lokasi berkenaan kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 35 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran dan lima bakul buah-buahan disita dalam operasi khas membanteras kegiatan penjaja tanpa kebenaran oleh warga asing.

“Kesemua tiga penjaja haram warga asing yang dikenakan tindakan itu didapati menjalankan perniagaan di kaki lima di sekitar Pasar Borong Selayang sehingga menimbulkan isu kacau ganggu, kebersihan dan juga kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1)d, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meletak dan menyebabkan halangan barang-barang perniagaan di tempat awam dan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, operasi yang tamat pada jam 7.30 malam itu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa MPS Muhammad Arif Misnan bersama-sama 15 anggota daripada Zon Unit Malam, Zon 01 Selayang dan Unit Logistik.

“MPS memandang serius isu ini dan akan terus membuat pemantauan dan menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa.

“Semua peniaga dan penjaja diingatkan juga untuk menjalankan aktiviti masing-masing dengan permit dan lesen yang sah dari MPS selain memastikan aspek kebersihan kawasan sekitar dijaga dan tidak menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam,” katanya.

51 operasi dilakukan MPS sehingga September lalu

Sebanyak 51 operasi dilakukan pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sejak awal tahun ini sehingga September lalu bagi membendung kegiatan penjaja haram warga asing.

Jurucakap Majlis Perbandaran Selayang berkata, lebih 700 bakul pelbagai sayur-sayuran dan 300 bakul pelbagai buah-buahan disita oleh pihak penguatkuasa MPS dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun, pihak MPS berdepan cabaran dan kekangan berikutan penguat kuasa MPS hanya mempunyai kuasa untuk merampas dan menyita barangan perniagaan peniaga warga asing di sekitar Pasar Harian Selayang (PHS).

“Kawasan pasar borong itu adalah kawasan sempadan antara Wilayah Persekutuan dan Selangor. Oleh itu penguatkuasaan terhadap kawasan itu agak terhad dan sukar.

“Walau bagaimanapun MPS bersama agensi berkaitan kerap melakukan operasi bersepadu dari masa ke semasa untuk mengatasi aktiviti penjaja haram ini dari terus berleluasa.

“Pemantauan berterusan dijalankan MPS selain operasi bersepadu dilaksanakan termasuk oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya masalah ini dapat dikawal,” katanya, semalam.

Menurutnya, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS turut mengambil inisiatif dengan meletakkan lori jabatan sebagai amaran atau peringatan di kawasan pasar borong bermula jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam bagi mengekang peniaga warga asing berniaga di kaki lima di sekitar kawasan pasar borong.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker