Bimbang kanak-kanak minat kartun pamer aksi ganas

KUALA LUMPUR – Program kartun kanak-kanak sewajarnya memiliki karektor menarik, membangkitkan rasa seronok dan menghiburkan golongan anak kecil.

Malangnya muncul lambakan kartun aneh dan pelik dikesan tersebar meluas di media sosial yang mampu mencetuskan emosi trauma, ganas serta perilaku ‘gila’ dalam kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan kartun ini tidak secomel disangka apabila hadir dalam pelbagai bentuk menakutkan hingga boleh menimbulkan persoalan, adakah ia sesuai ditonton untuk golongan kecil ini?



Kebebasan dan sikap terbuka ibu bapa terhadap penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak menjadi punca golongan kanak-kanak mudah terdedah dengan kartun ‘beracun’.

Mendedahkan perkara itu jurutera perisian, Mohd Kamil Kamaruddin, 36, mengakui kecuaian yang membenarkan beberapa anak kecilnya melayari media sosial menggunakan tablet sebelum ini.

Menurutnya, pelbagai kartun aneh ditonton anaknya tanpa disedari terutama ketika dia sibuk melakukan tugas di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Walaupun pada awalnya dia menonton kartun pendidikan seperti Blue’s Clues, WordWorld dan Upin Ipin namun tanpa disedari anak lelaki saya yang berusia enam tahun itu turut ‘dibawa’ melihat kartun yang ‘pelik-pelik’.



“Kebetulan anak saya boleh membuka sendiri aplikasi YouTube tanpa perlu diajar serta mencari kartun diminati. Ketika itu saya dapati anak saya mula ketagih kartun berunsur keganasan,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Menurutnya, kartun memaparkan watak makhluk berwarna biru dan memiliki gigi tajam itu tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak berikutan ia berunsur keganasan.

“Watak kartun sadis itu akan memakan watak kartun lain. Terdapat unsur kekejaman dan darah bersemburan selain watak kartun itu menunjukkan aksi menikam dan memenggal kepala.

“Begitu juga dengan watak satu lagi kartun yang mengejar manusia dan membunuh mangsa tanpa alasan munasabah,” katanya.



Kamil berkata, kartun aneh menyeramkan ini ternyata akhirnya merosakkan emosi dan tingkah laku anak-anaknya berbanding sebelum menonton kartun berkenaan.

“Anak saya menjadi trauma pada suasana gelap dan penakut keterlaluan. Jika sebelum ini dia berani naik ke tingkat atas rumah untuk mandi atau mengambil mainan namun kini, dia tidak lagi berani melakukannya bersendirian.

“Bila ditanya, dia memberi alasan takut kartun yang ditonton. Saya dan isteri bingung dan mengambil keputusan mengharamkan penggunaan tablet atau telefon pintar kepadanya,” katanya.

Sementara itu, guru sekolah menengah, Zarina Osman, 45, berkata, kartun kanak-kanak seharusnya mempunyai nilai pengajaran, komedi serta menolak unsur negatif keganasan.



“Watak sesuatu kartun seharusnya sesuai dengan sasaran usia penonton tanpa mencemarkan pemikiran kanak-kanak yang belum pandai menilai buruk dan baik kartun ditonton.

“Sebelum ini ada satu kartun tersebar meluas di media sosial memaparkan watak comel yang melakukan pembunuhan.

“Namun tidak kurang juga dengan beberapa watak kartun lain yang turut memaparkan aksi ganas yang boleh menjadi ikutan kanak-kanak,” katanya yang mempunyai anak lelaki berusia lima tahun.

Menurutnya, anaknya begitu mudah meniru dan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif di dalam kartun tanpa tapisan terutamanya membabitkan aksi ganas.



“Salah seorang anak saya menunjukkan tingkah laku yang agresif hingga bertindak menggigit dan menumbuk rakannya di tadika kerana meniru aksi satu watak kartun.

“Memang saya terkejut dan marah namun apa yang boleh dilakukan adalah memastikan dia tidak lagi melekat di televisyen atau Youtube sepanjang masa,” katanya.

© Harian Metro 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button