KPT, Intel teroka industri E&E

Oleh Azrin Muhammad

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan laporan mengenai industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal menjadi penyumbang eksport terbesar negara, khususnya melibatkan semikonduktor yang dipacu trend pendigitalan global.

Menyedari kepentingan industri E&E, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited membangunkan modal insan dan bakat yang mampu berdaya saing serta memiliki kebolehpasaran dalam memenuhi perkembangan teknologi digital di era globalisasi.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, KPT telah menjalin kerjasama strategik dengan gergasi semikonduktor dunia iaitu Intel sejak tahun 2019 menerusi Program Latihan Elit Intel (MIEIP).

“MIEIP memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri selama 10 minggu di fasiliti Intel Malaysia secara fizikal atau dalam talian dengan tawaran bekerja sebagai Graduate Trainee (GT) Intel sebelum diserap sebagai pekerja tetap.

“Dalam erti kata lain, MIEIP merupakan sebuah program latihan industri berstruktur yang menghubungkan latihan industri dengan projek tahun akhir pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, KPT menerima kunjungan dari delegasi Intel Malaysia untuk membentangkan laporan mengenai pencapaian MIEIP sepanjang tiga tahun sebelum ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kejuruteraan Rekabentuk merangkap Pengurus Besar Pusat Rekabentuk Intel Malaysia, Suresh Perabala, Timbalan Ketua Setiausaha KPT (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Sementara itu, Abdul Razak juga memberitahu pihak kementerian mengambil peluang untuk membincangkan peluang kerjasama strategik lain bersama-sama Intel Malaysia.

“Berdasarkan trend penyertaan pelajar yang memberangsangkan, KPT dan Intel Malaysia turut membincangkan peluang kerjasama strategik yang dapat membantu KPT dalam usaha pembangunan bakat bagi industri E&E negara dan juga global,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker