Hospital di Pakistan penuh dengan pesakit penyakit bawaan air
SEHWAN, Pakistan – Wad kecemasan di hospital utama kerajaan di sini, bandar kecil di utara Pakistan, penuh dan tidak mampu menampung jumlah pesakit.
Lawatan terkini ke hospital berkenaan, menyaksikan ratusan pesakit terpaksa bersesak-sesak di bilik dan koridor untuk mendapatkan rawatan Malaria dan penyakit lain yang merebak dengan pantas selepas dilanda banjir terburuk di negara itu dalam beberapa dekad.
Di tengah kesibukan, doktor muda di jabatan kecemasan Institut Sains Kesihatan Abdullah Shah, dikelilingi lima atau enam pesakit yang cuba mendapatkan perhatiannya.
Doktor berusia 30 tahun itu dilihat cuba kekal tenang ketika perkhidmatan kecemasan bergelut menghadapi ribuan pesakit yang tiba beribu batu selepas rumah dan kediaman mereka ditenggelami air apabila hujan turun pada Ogos dan September.
“Kami terlalu banyak kerja sehingga ada kala saya berasa seperti hendak pitam dan mengambil titisan intravena.
“Namun, doa daripada pesakit-pesakit ini yang membuat kami terus bertahan,” katanya.
Ahmed berada di barisan hadapan dalam usah mengehadkan penyakit dan kematian di seluruh selatan Pakistan, di mana ratusan bandar dan kampung terputus hubungan akibat kenaikan air.
Banjir itu menjejaskan kira-kira 33 juta orang di negara dengan populasi 220 juta orang.
Anggaran 300-400 pesakit yang tiba di kliniknya setiap pagi, kebanyakannya adalah kanak-kanak, menghidap malaria dan cirit-birit.
Bagaimanapun, dengan ketibaan musim sejuk, Ahmed bimbang penyakit lain akan turut menjadi biasa.
“Saya berharap mereka yang dipindahkan akibat banjir dapat pulang ke rumah masing-masing sebelum musim sejuk, jika tidak mereka akan terdedah kepada penyakit penyakit pernafasan dan radang paru-paru akibat tinggal di dalam khemah,” katanya.
Beratus-ratus ribu rakyat Pakistan yang melarikan diri dari rumah masing-masing kini tinggal di kem kerajaan atau hanya di tempat terbuka.
Air banjir yang bertakung sehingga ratusan kilometer persegi, mungkin mengambil masa dua hingga enam bulan untuk surut di beberapa tempat, dan sudah menyebabkan kes jangkitan kulit dan mata yang meluas, cirit-birit, malaria, kepialu dan demam denggi.
Krisis itu melanda Pakistan pada waktu yang teruk terutamanya ketika ekonomi negara itu berada dalam krisis, disokong oleh pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa, namun ia tidak mempunyai sumber untuk menghadapi kesan jangka panjang banjir.
Hampir 1,700 orang terbunuh dalam banjir yang disebabkan oleh hujan monsun dan pencairan glasier.
Pakistan menganggarkan kos kerosakan bernilai AS$30 bilion (RM139.42 bilion) dan kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalahkan malapetaka itu atas perubahan iklim.
Menurut pihak berkuasa, lebih 340 orang meninggal dunia akibat penyakit yang disebabkan oleh banjir.