Polis tahan lima pegawai kastam peras nelayan di perairan Tanjung Sepat


Supt Azizan Tukiman

09/12/2020 08:17 PM

SHAH ALAM, 9 Dis — Polis menahan lima pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membantu siasatan berkaitan jenayah pemerasan terhadap nelayan di perairan Tanjung Sepat pada 28 Nov lalu.

Lima pegawai berkenaan yang berusia 33 hingga 53 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, sekitar 9 malam, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman dalam kenyataan berkata mangsa bersama abang saudaranya menaiki bot pada 6 petang dari sebuah Jeti Sungai Titip, Kuala Langat untuk menjual durian di perairan Tanjung Sepat (sempadan Malaysia -Indonesia).

Katanya, semasa dalam perjalanan, mangsa yang juga peraih durian mendakwa dihampiri sebuah bot kastam dan sebuah bot pancung warna biru yang dibawa oleh dua anggota kastam bersama tiga lelaki warga Indonesia.

“Mengikut keterangan mangsa, seorang daripada pegawai kastam tersebut kemudian berbincang dengan mangsa berusia 34 tahun serta meminta wang sebanyak RM20,000 jika tidak mahu ditahan namun mangsa tidak bersetuju.

“Anggota kastam itu seterusnya mengambil beberapa kotak durian serta mengambil duit pengadu sebanyak RM2,000 selain turut memindahkan tiga warga Indonesia ke bot pengadu.

“Tindakan anggota kastam tersebut memindahkan ketiga-tiga warga Indonesia ke dalam bot mangsa ini juga sedang disiasat.

“Selepas itu, anggota kastam berkenaan beredar menuju ke Port Dickson bersama bot pancung milik warga Indonesia itu,” katanya.

Azizan berkata, selepas bot kastam beredar, mangsa mendapati seorang daripada warga asing itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat terkena tembakan dipercayai dari pihak kastam.

Katanya, semasa mangsa dalam perjalanan menuju ke darat, mereka telah ditahan anggota ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan seterusnya ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

“Mangsa dan abang saudaranya dibebaskan jaminan manakala tiga lelaki Indonesia direman mengikut Akta Imigresen selama 14 hari. Sementara,lima pegawai berkenaan direman empat hari mulai Isnin lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 225A Kanun Keseksaan; Seksyen 384 Kanun Keseksaan; Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM.

Kastam zahir penghargaan kecekapan polis tahan tiga lelaki bantu kes ugut pegawainya

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker