Juve lega, Atalanta terus kejar Napoli

MILAN: Juventus mengetepikan Bologna 3-0 awal pagi tadi seterusnya mengurangkan masalah mereka ketika Atalanta meneruskan permulaan diimpikan dalam Serie A menerusi kemenangan 1-0 mengatasi Fiorentina yang membolehkan mereka sama mata dengan pendahulu, Napoli.

Kemenangan ketiga dalam liga musim ini mengatasi lawan kerdil mengurangkan sedikit persoalan mengenai masa depan Massimiliano Allegri sehingga sekurang-kurangnya minggu depan apabila mereka akan berdepan juara bertahan, AC Milan.

Mereka kini di kedudukan ketujuh, tujuh mata di belakang Napoli dan Atalanta hasil jaringan pembukaan Filip Kostic dan dua lagi menerusi Dusan Vlahovic dan Arkadiusz Milik.

“Kami tidak menang perlawanan selama sebulan, ketika kami kembali ke bilik persalinan, kami hampir tidak percaya,” kata Allegri kepada DAZN.



“Kami perlu melaluinya satu persatu, saya harap dapat mengurangkan jurang seperti yang kami lakukan musim lalu.”

Sebelum berdepan Milan, mereka akan menanti kunjungan Maccabi Haifa awal pagi Khamis ini dengan kemenangan berdepan lawan dari Israel itu akan mencerahkan harapan layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Penyokong kelab terbesar di Itali itu tidak memenuhi Stadium Allianz dekat Turin dan mereka tidak gembira dengan kemenangan di laman sendiri berdepan Bologna, yang satu mata di atas zon penyingkiran dan tidak menunjukkan peningkatan sejak menggantikan Sinisa Mihajlovic dengan Thiago Motta awal bulan ini.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker