Kemahiran, Pendidikan, E-Dagang Komponen Penting Tingkat Pendapatan Rakyat
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan langkah yang dilakukan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya ini kerana, ianya bersesuaian dengan perkembangan negara yang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.
“… yang perlu adalah rakyat berpendapatan tinggi bukan hanya sekadar negara berpendapatan tinggi maka kemahiran dan pendidikan peringkat tinggi adalah penting,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, cabang perniagaan juga antara aspek yang perlu diberikan keutamaan untuk mencapai matlamat tersebut.
“Satu lagi adalah usahawan yang berdaya saing, kita tahu kita ada banyak mengimport barang makanan apa salahnya rakyat menjadi usahawan tani
“Kita juga ingin menuju kepada e-dagang apa salahnya jika rakyat menjadi usahawan online?
“Setakat mana usaha-usaha untuk mendapatkan rakyat berpendapatan tinggi ini dilakukan bersungguh-sungguh oleh kerajaan?” soal beliau.
Menjawab pertanyaan tersebut Mustapha berkata sememangnya hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang turut juga melibatkan rakyat.
Katanya mengikut data perkiraan terkini jarak pendapatan untuk mencapai taraf tinggi tersebut adalah kira-kira 16 peratus.
“Maka dalam masa tiga hingga empat tahun ini perlu melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan rakyat supaya jurang itu dapat dipenuhi untuk capai rakyat dan negara berpendapatan tinggi.
“Betul e-dagang sedang rancak dilaksanakan, tingkatkan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pelaburan berkualiti dengan gaji lebih tinggi kita perlu laksanakan dengan lebih tegas lagi.
“Ini juga berkaitan dengan sistem penyampaian dasar yang cantik atas kertas menerusi TVET rapatkan jurang antara keperluan industri yang dibekalkan oleh institusi pendidikan.
“Maka keutamaan pada ketika ini adalah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, pelaburan yang berkualiti, kemahiran tinggi, e-dagang dan lain-lain, insya-Allah akan diperhebatkan berbaki tiga tahun yang ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan bajet tahunan termasuk 2023,” ujar beliau.
UMNO Online