Malaysia bersedia hantar bantuan kepada Indonesia



IPOH: Kerajaan Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada Kerajaan Indonesia susulan tragedi rusuhan pada perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, yang mengakibatkan lebih 170 nyawa terkorban pada Sabtu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau akan berhubung dengan rakan sejawatnya di negara jiran itu bagi mendapatkan input berhubung perkara berkenaan.

“Kita akan berhubung dengan rakan sejawat di sana. Jika ada apa-apa perkara yang boleh dibantu, tentunya kita akan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Kita menganggap Indonesia bukan sekadar negara berjiran dengan Malaysia, tetapi juga mereka adalah saudara kita. Kita mengucapkan takziah kepada Kerajaan Indonesia serta seluruh rakyatnya,” katanya.



Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU, berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam & Dana Pilihan Raya PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) PAS Perak, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, insiden yang menyebabkan kehilangan begitu banyak nyawa itu begitu mendukacitakan, sekali gus disifatkan perlu diambil sebagai iktibar.

“Kita belajar bagaimana untuk mengelak perkara (seumpama) ini daripada berlaku, bukan saja di sini (Malaysia) tetapi diharapkan tidak berlaku di mana-mana jua,” katanya.



Semalam, media melaporkan angka kematian akibatĀ tragediĀ itu meningkat kepada 174 mangsa, selain lebih 320 mangsa mengalami kecederaan, dan ia merupakan antara kemalangan terburuk di dunia membabitkan stadium sukan.

Kejadian didakwa berlaku apabila penyokong Arema tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 3-2 lalu menceroboh ke dalam padang sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker