Malaysia disenarai kedudukan ke-12 terbawah jalan raya terburuk

KUALA LUMPUR – Malaysia disenarai pada kedudukan ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk.

Senarai itu dikeluarkan melalui laporan kajian bertajuk ‘Worst and Best Roads – US and International Ranking’ yang dijalankan firma pendidikan pemandu, Zutobi.

Menurut data firma itu, kualiti jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kematian jalan raya direkod kedua tertinggi iaitu 22.76 bagi setiap 100,000 orang.



Selain Malaysia, Kuwait disenarai negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia, diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Kuwait juga mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.

Kajian menganalisis keseluruhan 59 negara itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Data sama menyenaraikan Singapura sebagai negara yang merekodkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10.



Singapura juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Selain Singapura, empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya paling tinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59)

Laporan Zutobi berasingan yang diterbitkan Mei meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berbahaya untuk memandu bersama Thailand, India, Argentina, AS dan Afrika Selatan.

Namun, Malaysia mempunyai bilangan kematian jalan raya paling rendah berkaitan alkohol iaitu hanya 0.1 peratus, walaupun antara negara yang mempunyai had kepekatan alkohol darah paling longgar untuk pemandu iaitu 0.08 peratus.



© Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button