‘Man United layak kalah kerana tiada keyakinan diri’

Manchester: Erik ten Hag berkata, Manchester United mendapat apa yang sepatutnya apabila dibelasah 3-6 di Manchester City kerana mereka tidak yakin mampu menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Buat kali kedua dalam tujuh perlawanan di bawah kendalian Ten Hag, United ketinggalan 0-4 ketika rehat apabila City mengamuk di Stadium Etihad.

Erling Haaland dan Phil Foden melengkapkan hatrik masing-masing selepas rehad dan jaringan berganda Anthony Martial pada hujung perlawanan mengelak United mengalami kekalahan rekod sekali lagi dalam aksi Manchester derby.

“Ia mudah saja, kurang keyakinan diri,” kata Ten Hag.



“Apabila anda tidak yakin ketika berada di padang, anda tidak akan menang perlawanan dan ia sukar diterima.

“Kami tidak berdisiplin dalam mematuhi peraturan dan kami dibelasah, ini yang berlaku hari ini.”

United bangkit selepas kekalahan memalukan 0-4 di Brentford pada Ogos lalu, dengan empat kemenangan berturut-turut dalam liga.

Tetapi, impian mereka untuk merapatkan jurang dengan City musnah pada babak pertama apabila anak buah Pep Guardiola sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol.



“Bagi saya, ia cukup mengejutkan. Kami tidak mampu berada di depan, kami tidak berani bersama bola dan ada ruang untuk bermain, tetapi kami tidak cukup berani,” tambah Ten Hag.

“Semua kredit kepada City, tetapi tiada apa yang boleh dibuat dengan City. Prestasi kami tidak cukup bagus. Ada yang perlu dilakukan mengenai keyakinan pemain secara individu dan pasukan.”

United menunjukkan semangat melawan pada babak kedua apabila Antony menjaringkan gol kedua peribadi sejak menyertai Ten Hag berpindah dari Ajax ke Old Trafford, sebelum Martial menjaringkan dua gol dalam enam minit terakhir.

Tetapi, keputusan meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan sepanjang permainan menimbulkan persoalan sama ada Ten Hag mungkin mengetepikan pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu pada keseluruhan musim ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker